Berita

Kerajaan PN : UMNO – BN berhak semak kedudukan

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 14 Oktober 2020 10:30 AM MYT

UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhak menyemak semula kedudukannya di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata mungkin terdapat asas tertentu yang menyebabkan UMNO mahu mengkaji semula kedudukannya dari semasa ke semasa.

“Tidak mustahil melalui semakan itu kerajaan PN boleh diperkasakan lagi menerusi muafakat yang lebih tersusun dan lebih bersefahaman.

“Saya berpandangan kita perlukan kebijaksanaan dalam semua tindakan. Ia mestilah mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu posting di facebook rasminya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung BN mahu memberikan kestabilan politik negara terlebih dahulu.

“Kita juga perlu memperkuatkan perpaduan Melayu, dan ia merupakan asas kestabilan politik negara.

“UMNO, PAS, dan PPBM sama-sama bertanggungjawab untuk mewujudkan perpaduan tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata bahawa keutamaan ketika ini adalah menyelamatkan nyawa rakyat dan mengekang pandemik COVID-19.

“Kita juga mesti memulihkan ekonomi negara, meringankan beban hidup rakyat serta menjadikan Malaysia sebuah negara berjaya (bukan “a failed state” atas apa juga sebab),” katanya.

Ujarnya, ketiga-tiga parti melayu itu perlu kembali ke ‘drawing board’ politik agar dapat melakar sesuatu yang lenih baik untuk Malaysia.

“Untuk itu kita perlu tenang, banyak berfikir dan bijak bertindak.

“Jangan emosi mendorong kita untuk tidak memikirkan keburukan yg boleh menimpa rakyat dan negara kita,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas