Berita

PKPB: Perkhidmatan rel, bas kendalian Prasarana masih beroperasi seperti biasa

- Diterbit 14 Oktober 2020 6:30 AM MYT

SEMUA perkhidmatan rangkaian rel transit dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai hari ini sehingga 27 Okt.

Tinjauan mendapati perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dan Ampang, MRT laluan Kajang dan laluan monorel serta bas masih menjadi tumpuan utama penumpang yang menjadikan pengangkutan awam berkenaan sebagai pengangkutan utama.

Seorang penumpang, Aishah Nor Azman, 32, yang melakukan perjalanan menaiki LRT dari stesen Wangsa Maju hingga MRT Pusat Bandar Damansara berkata adalah penting untuk mengamalkan penjarakan fizikal selagi vaksin masih belum ditemukan.

“Siapa tidak risau dengan peningkatan kes hari ini. Syarikat pula hanya benarkan mereka yang dari zon merah untuk bekerja dari rumah.

“Jadi, apa yang penting, amalkan SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan kerajaan. Kita jaga diri kita dan itu adalah yang sebaik-baiknya,” katanya kepada Bernama.

Turut senada, Suzana Mohd Noh, 47, yang sudah biasa dengan situasi kebiasaan baharu seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal kerana hampir setiap hari menggunakan perkhidmatan itu.

“Saya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat peguam. Hari-hari saya akan berulang-alik dari LRT Bandar Tun Razak ke MRT Pusat Bandar Damansara termasuklah dalam tempoh PKPB ini. Apa yang penting, patuhi segala SOP yang ditetapkan,” katanya.

Seorang penumpang yang hanya ingin dikenali sebagai Cheah, 52, mengakui tiada pilihan untuk ke tempat kerjanya di Mutiara Damansara selain menaiki perkhidmatan awam tersebut.

“Takut, takut pun saya perlu naik juga. Saya mahu cari makan, pergi kerja cari duit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Media Prasarana Azhar Ghazali berkata pihaknya mendapati jumlah penumpang masih seperti biasa khususnya ketika pada waktu puncak antara pukul 6 pagi hingga 9 pagi.

“Faktor utamanya adalah kerana sektor ekonomi yang masih dibenarkan dibuka selain ada syarikat yang belum melaksanakan kerja dari rumah sepenuhnya,” katanya sambil menambah waktu operasi tren berjalan seperti biasa dalam tempoh PKPB iaitu dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Bagaimanapun, katanya, penumpang digalakkan untuk melakukan penjarakan fizikal secara kendiri memandangkan operasi tren dijalankan dengan kapasiti 100 peratus penumpang.

Katanya, penumpang juga perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengimbas kod QR selain mematuhi SOP sedia ada seperti pekerja dan penumpang yang mempunyai suhu lebih 37.5 darjah Celsius tidak dibenarkan masuk, memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pensanitasi tangan.

“Kerja-kerja membasmi kuman dan pembersihan stesen serta tren tetap dilakukan secara berterusan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas