Berita

PM ucap takziah, mahu siasatan segera dijalankan mencari punca nahas dua helikopter

- Diterbit 24 April 2024 11:02 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan negara berduckacita dengan tragedi yang menyayat hati dan meruntun jiwa membabitkan nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, hari ini.

Menurut Anwar, tragedi tersebut ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.

“Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dengan doa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini.

“Mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka. Semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa di-Sisinya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Jelas Perdana Menteri, satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas.

Terdahulu media melaporkan, TLDM mengesahkan seramai 10 kru terkorban dalam nahas kejadian pertembungan dua buah helikopter hari ini.

TLDM dalam satu kenyataan akhbar berkata, Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM dan sebuah helikopter Fennec TLDM telah terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 9.32 pagi tadi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas