Berita

Semua pihak harus lebih sensitif isu 3R elak perbalahan kaum

- Diterbit 22 Mac 2024 8:50 AM MYT

ORANG ramai tidak kira bangsa, kaum serta agama, seharusnya lebih sensitif dan peka terhadap perkara-perkara yang boleh membangkitkan isu-isu 3R (agama, raja dan kaum).

Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin memohon agar mana-mana pihak tidak mengganggu gugat keharmonian perpaduan kaum di negara ini.

“Dalam hal ini saya fikir, bila merujuk soal sensitiviti pastinya ia tidak mudah bagi umat Islam terutamanya dalam bulan Ramadan untuk biarkan ia berlalu begitu sahaja.

“Sebagai langkah ke hadapan, saya ingin menasihati supaya kesemua pihak untuk menjaga hal sensitiviti ini, kerana ia mampu mendatangkan banyak perkara yang buruk serta merosakkan semangat perpaduan di dalam negara ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambah Ahmad Fahmi, diharapkan isu stoking ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

Jelasnya lagi, semua pihak seharusnya memainkan peranan dan mempunyai sifat tanggungjawab dalam menjaga keharmonian negara.

“Saya harap isu ini tidak lagi berpanjangan kerana ia akan memudaratkan perhubungan yang telah dicipta ini.

“Kita dapat lihat seperti di media sosial, orang ramai dilihat kecewa dengan isu ini, dan jika tidak diredakan atau dikawal boleh mengakibatkan sentimen dan perpecahan kaum,” jelasnya.

Menurut Ahmad Fahmi, dia berharap agar isu tersebut tidak dipolitikkan dan digunakan untuk kepentingan oleh pihak-pihak tertentu.

“Kita tidak mahu isu seperti ini jadi bahan atau sumber digunakan untuk kepentingan oleh pihak-pihak yang suka menangguk di air keruh.

“Seharusnya sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk, kita sepatutnya bersatu-padu, menghormati serta meraikan kepelbagaian agama dan bangsa,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ahmad Fahmi berkata, dia berharap agar orang ramai terutamanya umat Islam di negara untuk terus bersabar serta tangani isu tersebut dengan rasional.

“Kita ambil semangat sempena bulan Ramadan yang mulia ini, kita bersabar, dan diminta juga supaya tiada pihak untuk lakukan sebarang provokasi yang berlebih-lebihan.

“Saya juga berharap agar kerajaan mengenakan tindakan yang tegas terhadap pelaku kerana telah melanggar kesucian agama Islam.

“Yang paling penting, elakkan daripada membangkitkan sebarang isu-isu 3R yang boleh membawa kepada masalah perkauman,” katanya.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Sabtu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas