Berita

Pendidikan mampu ubah masa depan

Kredit foto: Wilayahku
- Diterbit 22 Mac 2024 9:05 AM MYT

AHLI Parlimen Batu Pahat mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) Onn Abu Bakar adalah seorang pemimpin berkaliber dalam mengurus perihal masalah rakyat tanpa mengira masa dan ketika.

Segala permasalahan ditangani dengan tenang walau berhadapan pelbagai cabaran yang berliku. Fokus utama yang diberi penekanan adalah pendidikan anak-anak di kawasan tersebut.

Wartawan Wilayahku, Syed Hazique Syed Nor berpeluang mendengar segala pengalaman daripada sisi beliau yang berkongsi pengalaman sepanjang perkhidmatannya di kawasan Parlimen Batu Pahat.

 Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat?

Siapa sahaja yang tidak diduga, tanpa cabaran tiada kejayaan. Semestinya cabaran utama yang saya hadapi di awal pentadbiran ialah untuk menyesuaikan diri dengan kesemua pihak termasuk rakyat di sini. Ia bukan mudah namun, tidak mustahil.

Pelbagai cara yang digunakan dalam memenangi hati rakyat demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka seperti turun padang ke majlis, adakan majlis bersama penduduk dan sebagainya.

Amat penting bagi seorang pemimpin atau wakil rakyat untuk dikenali penduduk setempat, bagi memudahkan urusan.

Masalah komunikasi itu sering terjadi, biasalah Batu Pahat bukan seperti bandar Kuala Lumpur, namun, saya bersama pasukan akan memastikan kesemua kira-kira 60 kampung diberikan informasi atau bantuan secukupnya kepada mereka.

Apakah fokus utama YB sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat?

Jika hendak diikutkan semuanya saya capai, tiada satu pun yang terabai, walaubagaimanapun, fokus saya adalah lebih kepada bidang pendidikan.

Anak-anak kecil ini adalah pemimpin yang akan membangunkan negara pada masa hadapan. Justeru itu, pembangunan dalam bidang pendidikan amat penting untuk dibangunkan.

Peruntukan sebanyak hampir RM2 juta dibahagikan kepada kesemua sekolah rendah dan menengah dengan naik taraf infrastruktur, program-program bersifat akademi yang membantu pembelajaran pelajar, aktiviti ibu bapa bersama guru-guru dan banyak lagi.

Dalam aspek sosial pula, bagaimana YB menilai perhubungan bersama ketua kampung di kawasan Batu Pahat?

Amat penting sekali sebagai wakil rakyat untuk kita menjaga perhubungan bersama penduduk setempat.

Pada awalnya, memang sukar untuk saya mengenali mereka semua, dan proses itu juga mengambil sedikit masa.

Namun, Alhamdulillah kini, hubungan kami kukuh, mengenali satu sama lain, malah ia juga memudahkan urusan bantuan-bantuan yang diperlukan oleh penduduk kampung melalui ketua kampung serta tok penghulu.

Kerajaan sedang dalam usaha memerangi miskin tegar, bagaimanakah YB membantu kerajaan untuk mengatasi masalah ini?

Umum sedia maklum, isu ini sudah berlanjutan sejak sekian lama, apa yang boleh katakan, saya bersama pasukan memang bertungkus-lumus memastikan golongan ini diberi bantuan secukupnya.

Saya dan pasukan saya, akan mengambil data daripada eKasih kemudian mencari mereka untuk memberikan bantuan yang sewajarnya.

Bukan setakat itu sahaja, kami juga berkomunikasi bersama ketua-ketua kampung serta tok penghulu demi membantu golongan ini. Antara bantuan yang diberikan seperti makanan, wang ringgit, barangan keperluan, pakaian dan pelbagai lagi.

Selain itu, kita juga sediakan kemahiran kepada mereka untuk belajar membuat sesuatu yang boleh mendatangkan pendapatan tetap kepada mereka, sekali gus membantu mengubah nasib diri serta keluarga.

Difahamkan, negara kita, semakin mencapai taraf negara tua, apakah inisiatif yang dilaksanakan YB dalam membantu golongan warga emas?

Golongan warga emas, kita kena faham, mereka sudah menjangkau usia di mana mereka banyak serba-serbi kekurangan.

Di situ, saya mula menjalinkan kerjasama dengan pusat jagaan warga emas, untuk perbaiki fasiliti bangunan, naik taraf pusat tersebut khas untuk membuatkan tempat itu senang buat mereka.

Selain itu, kita juga ada melakukan aktiviti kerakyatan bersama mereka, seperti kemahiran, kesihatan dan banyak lagi.

Sumbangan turut diberikan seperti makanan, pakaian serta barang keperluan untuk kelangsungan hidup mereka ini.

Alhamdulillah juga, kebanyakan daripada mereka juga sering ke masjid atau surau membuatkan bantuan lebih mudah sampai serta untuk melakukan apa-apa aktiviti bersama.

Apakah inisiatif lain yang dilaksanakan YB kepada penduduk?

Seperti saya katakan sebelum ini, fokus pentadbiran saya ialah di dalam bidang pendidikan, masa depan anak-anak muda ini.

Pelbagai bantuan serta program yang telah kami jayakan bersama, malahan pada tahun lepas, kira-kira empat buah sekolah dicarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini juga bertujuan untuk memudahkan mereka di kemudian hari, supaya ada simpanan, amalkan sifat untuk menabung di usia muda, caruman pun bukan seberapa tetapi ada nilai, sebanyak RM10.

Bersempena dengan bulan Ramadan ini, apakah program yang YB jayakan bersama penduduk?

Seperti Ramadan tahun lepas, saya dan pasukan mengedarkan bubur lambuk, memberi sumbangan barangan keperluan kepada penduduk yang memerlukan dan pelbagai lagi.

Tahun ini mungkin sedikit berbeza, namun tujuannya sama untuk mencapai golongan miskin tegar ini dan memberi sumbangan barangan keperluan kepada mereka. Secara keseluruhannya, peruntukkan aktiviti di bulan Ramadan ini sahaja berjumlah RM60,000.

Bagaimana YB menjaga keharmonian penduduk yang majmuk di kawasan ini?

 Secara jujurnya, ia bukan suatu perkara yang mudah untuk dilakukan. Bayangkan kita bukan sahaja cuba menyelesaikan isu satu kaum namun ada lagi kaum dan bangsa lain yang perlu dijaga kebajikannya.

Walau bagaimanapun, semua sedia maklum, Batu Pahat terkenal dengan Kopitiam, daripada situ membuatkan masyarakat di sini boleh duduk semeja tanpa mengira agama dan kaum serta bersembang sehingga terlupa waktu.

Itu lah antara keindahan masyarakat Batu Pahat yang bersatu-padu, serta rajin menolong satu sama lain.

Setiap perayaan juga saya akan hadir bagi mengimarahkan lagi perayaan tersebut di samping dapat bersua muka bersama masyarakat setempat.

Apakah harapan YB terhadap penduduk Parlimen Batu Pahat?

 Sebenarnya besar harapan saya untuk melihat penduduk Batu Pahat terus berjaya dan membangun.

Saya memerlukan sokongan setiap pelosok penduduk untuk terus mejayakan aspirasi-aspirasi kerajaan di samping memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Sejujurnya banyak lagi perkara yang boleh ditambah baik yang sedang diusahakan saya bersama agensi-agensi kerajaan demi kesejahteraan penduduk seperti lampu-lampu jalan, kemudahan infrastruktur, serta yang utama pendidikan.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, sektor pendidikan adalah fokus utama saya, kerana mereka ialah harapan kepada keluarga, masyarakat serta negara di masa hadapan.

Selain itu, di Batu Pahat juga telah melahirkan ramai atlet-atlet yang mewakili negara, justeru itu, penglibatan pelajar-pelajar ini bukan dari segi pendidikan sahaja malahan sehingga ke sukan kita akan pastikan mereka mampu melangkah lebih jauh. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas