Berita

Agong murka kalimah suci dipermainkan

KREDIT foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
- Diterbit 22 Mac 2024 8:45 AM MYT

YANG di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking (sarung kaki) yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,  baginda bertitah, sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu, baginda telah mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.

Justeru,  baginda  mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Sultan Ibrahim bertitah, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.

“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titah baginda.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada pihak polis untuk memanggil mana-mana pihak memberikan kenyataan bagi melengkapkan siasatan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak polis juga menerima beberapa laporan yang telah dibuat terhadap isu tersebut untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah sudah bermula dan bertumpu kepada vendor atau pengedar produk berkenaan ke pasaran.

Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pihak KDN juga sentiasa memantau supaya perkara sebegini tidak akan berulang lagi.

Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan memandang serius terhadap isu tersebut kerana telah mengguris hati umat Islam.

Ketua Pengarahnya, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusof berkata JAKIM juga telah memanggil Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai.

“Amaran keras telah diberikan supaya perkara ini tidak berulang lagi. Pihak syarikat juga telah memberi penjelasan mengenainya dan langkah-langkah untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang.

“Pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemaskini semula prosedur operasi standard (SOP) syarikat,” katanya baru-baru ini.

Tambah beliau, JAKIM turut menyokong tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membuka kertas siasatan terhadap isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

“JAKIM memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.

“Dalam masa yang sama, semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (agama, raja, dan kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas