Sayangi Wilayahku, Kempen Kibar Bendera Wilayah bermula
KHALID mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan selepas hadir melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan, sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di dataran DBKL.

Sayangi Wilayahku, Kempen Kibar Bendera Wilayah bermula

KUALA LUMPUR – Lebih 3,000 warga kota berkumpul bagi menjayakan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Pelancaran kempen yang disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad itu, bertujuan untuk meningkatkan kecintaan kepada Wilayah Persekutuan dalam kalangan warganya sesuai dengan tema Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ‘Sayangi Wilayahku’.

“Ini merupakan tahun ke-16 sambutan Hari Wilayah Persekutuan. Pelbagai program telah direncana sepanjang Febuari ini, untuk mengingatkan kembali peristiwa pembentukan tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Sebagai warga wilayah, kita perlu menanam rasa kekitaan biarpun wilayah kita berjauhan antara satu sama lain. Konsep perpaduan perlu sentiasa dipupuk agar kita dapat membangun bersama-sama,” ujarnya.

Kata Khalid, sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini, pemberian darjah kebesaran akan dilakukan di Istana Melawati, Putrajaya.

“Pada kali ini pingat dan bintang kebesaran akan dihadkan. Hanya empat individu akan dikurniakan gelaran Datuk Seri, lebih 20 individu diberi gelaran Datuk dan selebihnya pingat yang tidak membawa gelaran sebagai tanda penghargaan atas sumbangan yang telah diberi,” ujar beliau.

Dalam masa sama, premis-premis perniagaan juga dimohon untuk mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan bermula 15 Januari hingga 6 Mac ini yang mana boleh didapati di Kaunter Bayaran, Jabatan Kewangan DBKL pada harga RM12 seunit.

Terdahulu, Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan dimulai dengan sesi penyerahan 400 bendera Wilayah Persekutuan kepada Parlimen dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (Pengurusan dan Sosio Ekonomi), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), Datuk Siti Fatimah Daud dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS