Berita

Khalid ulangi jaminan kerajaan kekalkan penguasaan Melayu di Kampung Baru

KHALID ketika berucap semasa program Libat Urus Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) di Pejabat PKB di sini hari ini.
- Diterbit 18 Januari 2020 3:04 PM MYT

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad mengulangi jaminan kerajaan bahawa orang Melayu akan terus menguasai kawasan itu setelah pembangunan semula Kampung Baru selesai.

Ini berikutan kerajaan akan mengekalkan syarat bahawa tanah di kawasan itu dikekalkan dan ia mesti dimiliki orang Melayu.

“Persoalan mengenai enakmen Malay Agricultural Settlement (MAS) yang menyebut bahawa, penghuni pun tidak boleh diduduki selain orang Melayu dan itu kita akan pertimbangkan untuk terus dikekalkan,” katanya dalam ucapan semasa Sesi Libat Urus Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) bersama kira-kira 120 penduduk setempat di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkurnain Hassan.

Tambah Khalid, apa yang dikatakan mengenai pembangunan semula ini hendak menghalau orang Melayu keluar dari Kampung Baru dan menjadikannya kawasan bukan Melayu dan pelbagai lagi adalah tidak benar sama sekali.

“Pembangunan ini pun tidak akan menjejaskan mana-mana pihak kerana pemilik pun boleh kekal di atas hartanah di Kampung Baru ini setelah ia dibangunkan dengan membeli semula tawaran-tawaran yang kita sediakan,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, kerajaan hendak mencari satu titik pertemuan dan penyelesaian yang terbaik serta adil bagi semua pihak dalam pembangunan semula ini.

“Sepertimana yang sering diingatkan, pihak kerajaan mahu mendapatkan satu suasana bahawa, kita perlu saling memahami di atas dasar ‘willing buyer, willing seller’ iaitu dua pihak sanggup beli dengan harga yang dipersetujui dan pemilik pula sanggup jual dengan harga yang dipersetujui.

“Dengan cara ini, kita boleh memberikan penjelasan dan penerangan kenapa harga yang ditawarkan merupakan harga yang adil dan munasabah untuk kedua-dua pihak,” jelasnya.

Tambah Khalid, beliau turut berharap supaya pemilik kekal bersama apabila kawasan ini dibangunkan, kerana pemilik dan pewaris masih ada saham dalam pembangunan itu.

“Tujuan utama adalah supaya suara dan kehendak pemilik serta pewaris tetap diambil kira dalam menguruskan pembangunan di Kampung Baru ini.

“Ia juga merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang besar dalam soal pembangunan untuk menzahirkan satu imej masyarakat Melayu yang maju sekali gus mengekalkan imej dan syiar warisan Melayu di kawasan ini nanti,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas