Berita

DBKL jalin kerjasama, fokus industri startup

- Diterbit 22 April 2024 2:03 PM MYT

BERSEMPENA Sidang Kemuncak KL20 2024, satu surat niat (Lol) di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kerajaan Rakyat Perbandaran Hangzhou telah dimeterai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata perjanjian tersebut memfokuskan kepada kerjasama Startup City Connect dan bakal membuka peluang kepada usahawan dan pemain teknologi komunikasi.

“LoI ini akan memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua bandar dan akan membantu meningkatkan lagi pelaburan serta memberi peluang yang luas kepada pertukaran teknologi tinggi terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan ekosistem syarikat startup di antara Malaysia dan Republik Rakyat China,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Zaliha berkata menerusi kerjasama ini ia akan membuka prospek penting bagi usahawan dan pemain teknologi komunikasi di kedua-dua negara untuk terus berinovasi dan memajukan teknologi.

“Melihat kepada perkembangan pesat industri startup di Republik Rakyat China, perkongsian pengetahuan dan kepakaran bersama terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi akan memberi nilai tambah yang akan menguntungkan Malaysia.

“LoI ini turut akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang seperti kerjasama ekonomi dan perdagangan, program bandar pintar, e-dagang, pembangunan ekosistem startup dan rangka kerja pengawalseliaan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Tambah beliau, Sidang Kemuncak KL20 2024 yang dianjurkan selama dua hari ini menghimpunkan syarikat pemula, pelabur dan pemimpin industri untuk memupuk inovasi, kerjasama serta pertumbuhan ekosistem syarikat pemula di Malaysia.

“Ia juga membantu melonjakkan Malaysia sebagai kuasa besar dalam industri elektronik dan elektrikal (E&E) di persada dunia terutamanya melibatkan inovasi, penyelidikan dan pembangunan.

“Selain itu, penganjuran Sidang Kemuncak KL20 2024 ini juga memberi kelebihan kepada Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur untuk mencapai kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan ibu kota Kuala Lumpur menerusi pembangunan fizikal, sosioekonomi, kawalan perancangan serta perkhidmatan perbandaran secara terancang dan selaras berteraskan tadbir urus yang cemerlang,” ujarnya.

Terdahulu KL20 yang telah diluncurkan pada 27 Mac 2024 merupakan inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Ekonomi dalam usaha melonjakkan nama negara sebagai ekosistem syarikat pemula 20 terbaik dunia, selain menjadi pintu masuk inovasi di Asia Tenggara dan mengangkat Kuala Lumpur ke dalam senarai 20 hab startup terbaik global menjelang tahun 2030. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas