Berita

JPJ tidak pernah beri kelulusan kepada BJAK

- Diterbit 6 Mei 2024 2:50 PM MYT

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mahupun pihaknya tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK Sdn. Bhd. (BJAK) untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

Menurutnya, JPJ memandang serius terhadap kandungan iklamn yang telah dikeluarkan oleh pihak BJAK melalui laman sesawang dan media sosialnya berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan kepada orang awam termasuklah program pemberian cukai jalan secara percuma.

“Pihak JPJ juga ingin memaklumkan bahawa terdapat kenyataan yang telah dipaparkan oleh pihak BJAK melalui laman sesawang mereka iaitu “Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ” adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.

“Pihak JPJ juga telah menerima beberapa aduan daripada orang awam antaranya pembaharuan cukai jalan telah dilaksanakan melalui laman sesawang BJAK, namun tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini.

“Jabatan ini ingin menjelaskan dan menegaskan bahawa tiada integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh pihak BJAK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihak JPJ juga telah menerima aduan ketidakpuasan hati orang awam yang mana perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan oleh BJAK.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa pihak MOT atau JPJ tidak pernah meluluskan sebarang pengenaan caj tambahan yang pada masa ini dikenakan oleh BJAK kepada pelanggan mereka.

“JPJ ingin menggalakkan urus niaga memperbaharui cukai jalan adalah melalui kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga JPJ (Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM) sahaja,” jelasnya.

Katanya, pihak jabatan sekali lagi menegaskan bahawa pengoperasian yang dilakukan oleh pihak BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran dengan pihak JPJ.

Selain itu, pihak JPJ turut menasihati orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan yang tidak sah bagi mengelakkan sebarang penipuan dan kerugian.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut,” ujarya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas