Berita

RFP 2022 saji aktiviti Keluarga Malaysia

SHAHIDAN ketika berucap dalam Majlis Perasmian Festival Bunga dan Taman Floria Diraja Putrajaya 2022 yang berlangsung di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya hari ini.
- Diterbit 29 Ogos 2022 7:33 AM MYT

ROYAL Floria Putrajaya (RFP) 2022 menjanjikan pelbagai pakej pameran bunga serta aktiviti yang sinonim dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Festival Royal Floria Putrajaya 2022 bertujuan memupuk dan menyuburkan rasa cinta kepada keindahan pelbagai warna bunga serta tumbuhan yang banyak berkaitan dengan kebudayaan masyarakat Malaysia.

“Ia dapat menghimpun rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat, budaya, kepercayaan dan kaum untuk turut serta dalam lebih 100 program serta aktiviti yang disediakan sepanjang tujuh hari festival ini berlangsung.

“Ia sekali gus membudayakan aktiviti landskap dan perkebunan sebagai satu gaya hidup sihat dan sejahtera,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Festival Bunga dan Taman Floria Diraja Putrajaya 2022 hari ini.

Selain itu, Shahidan berkata penganjuran RFP setiap tahun membantu menyumbang kepada peningkatan industri bunga-bungaan, landskap dan pelancongan.

“Festival seperti ini membantu menyumbang kepada peningkatan potensi industri bunga-bungaan, landskap dan pelancongan sebagai satu daripada bidang ekonomi utama negara (NKEA) dan seterusnya memacu perkembangan industri ini sebagai satu alternatif pelaburan yang menguntungkan negara serta rakyatnya.

“Pada masa ini festival bunga dan taman serta landskap yang berkualiti merupakan satu produk ekonomi yang menjadi penyumbang penting kepada sektor pelancongan negara.

“Ia boleh mencetuskan pelbagai peluang perniagaan dan perkhidmatan yang luas meliputi bidang-bidang semaian komersil; bekalan bahan tanaman bunga dan hiasan; perundingan dan penyenggaraan landskap; perkebunan; bekalan jentera dan peralatan perkebunan; sewaan pokok bunga, hiasan bunga, perundingan persekitaran, pemuliharaan sumber alam dan eko-pelancongan,” katanya.

Festival kali ke-12 yang bertemakan Floria Hebat dengan orkid sebagai bunga tema ini menghimpunkan sebanyak 10,000 pokok orkid yang dipamerkan dengan lebih 400,000 pokok daripada pelbagai spesis dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan.- WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas