Berita

PM Ismail Sabri umum inisiatif baharu, berita gembira untuk penjawat awam

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 30 Ogos 2022 6:21 AM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan beberapa inisiatif baharu dan berita gembira buat penjawat awam antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023.

“Keluh kesah anggota perkhidmatan awam sentiasa didengari oleh kerajaan,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) yang dihadiri kira-kira 4,000 anggota perkhidmatan awam secara fizikal di sini serta ribuan lagi mengikutinya secara dalam talian.

Beliau berkata KGT tambahan khas sebanyak RM100 itu adalah bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023, yang akan melibatkan kira-kira 1.28 juta penjawat awam serta implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

“Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada 2023 adalah sebanyak RM180,” katanya sambil disambut dengan sorakan hadiri setiap kali beliau mengumumkan insentif untuk penjawat awam.

Ismail Sabri turut mengumumkan BKK Tahun 2023 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan dibayar pada Januari 2023.

MAPPA merupakan acara tahunan bagi mendengar amanat daripada perdana menteri kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan.

Turut hadir menteri-menteri Kabinet antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat.

Ismail Sabri pada perhimpunan itu turut mengumumkan kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

“Kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.

“Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai semasa persaraan sekali gus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak,” katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

Tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 guru bagi urusan mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi, katanya.

Pada majlis itu Perdana Menteri turut mengumumkan mengenai perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

“Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau turut memaklumkan langkah penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.

“Kerajaan telah bersetuju menambah baik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Jan 2022,” katanya.

Ismail Sabri berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara itu.

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju agar JPA menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan.

“Kajian juga merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.

Dalam perjumpaan bersama penjawat awam itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi kerajaan.

“Sekiranya produktiviti dapat ditingkatkan, ekonomi negara akan bertambah kukuh dan kerajaan akan lebih berupaya meningkatkan kemudahan kepada Keluarga Malaysia seluruhnya,” katanya menambah penjawat awam tidak akan dilupakan dan yakin mereka adalah tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas