Berita

Program Jalan TAR Bebas Kenderaan terima maklum balas positif

MAHADI (dua dari kanan) mendengar maklum balas daripada peserta Program Jalan TAR Bebas Kenderaan ketika meninjau pelaksanaan hari pertama program tersebut pada Ahad.
- Diterbit 29 Ogos 2022 7:06 AM MYT

INISIATIF baharu Program Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) Bebas Kenderaan yang diadakan setiap Ahad mendapat sokongan semua pihak termasuk para peniaga di kawasan berkenaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata sebelum inisiatif bagi menutup jalan itu diambil, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil kira pandangan semua pihak bagi memastikan program tersebut dapat bertahan lama dan tidak mendatangkan masalah pada masa hadapan.

“Bandar raya ini mempunyai banyak pihak berkepentingan, maka jika mahu anjurkan sebarang aktiviti atau pembaharuan, pandangan mereka perlu diambil kira dan kerja yang kita laksanakan ini perlukan sokongan mereka, maka akan ada kesepaduan yang tinggi supaya ia kekal lama.

“Peniaga yang bernaung di bawah Bara menyokong program yang dijalankan ini dan tiada halangan asalkan kita tak jual barang yang sama dengan mereka,” katanya kepada pemberita sewaktu meninjau operasi hari pertama Program Jalan TAR Bebas Kenderaan pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan DBKL, Norzaini Noordin.

Jelasnya inisiatif tersebut merupakan satu usaha bagi menyediakan ‘new content’ untuk menarik pelancong berkunjung ke Kuala Lumpur.

“Kita selalu bercakap mengenai pelancongan, dan ia tidak boleh menumpukan kepada satu produk untuk selama-lamanya, dan perlu ada pembaharuan untuk menarik orang ramai berkunjung dan menikmati persekitaran baharu yang berkualiti seperti program ini.

“Untuk menarik pengunjung ke Kuala Lumpur, kita perlukan program baharu dan menarik dan kita cuba membuat konsep baharu ini dan mendapat maklum balas yang positif daripada orang ramai dan selepas ini kita akan uar-uarkan dan perbanyakkan publisiti untuk menarik kedatangan orang ramai,” katanya.

Terdahulu DBKL pada Jumaat memaklumkan bahawa Jalan TAR akan ditutup kepada kenderaan bermula dari persimpangan Jalan Esfahan ke Jalan Melayu bagi mewujudkan kawasan pejalan kaki di tengah bandar pada setiap Ahad bermula 28 Ogos 2022 dari pukul 6 pagi hingga 12 malam.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas