Berita

Raja Permaisuri Agong rasmikan Festival Busana Tradisional Kuala Lumpur 201

TUNKU Azizah (tengah) merasmikan Festival Busana Tradisional Kreatif Kuala Lumpur 2019 di Institut Latihan DBKL, Cheras di sini baru-baru ini.
- Diterbit 26 Oktober 2019 9:51 AM MYT

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan Festival Busana Tradisional Kreatif Kuala Lumpur 2019 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketibaan Tunku Azizah bersama Puteri baginda, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah disambut oleh isteri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datin Rabithah Zakariah dengan disajikan muzik tradisional gamelan dan persembahan tarian pembukaan oleh artis budaya DBKL.

Baginda kemudian berkenan merasmikan festival tersebut dengan meletakkan tangan baginda ke atas skrin sebagai simbolik perasmian.

“Sebagai seorang yang begitu memartabatkan warisan tradisional, sudah tentu saya akan hadir kerana begitu minat dengan kraf dan warisan,” titah baginda ketika merasmikan festival berkenaan.

Usai pelancaran, Tunku Azizah menerima persembahan tengkolok berwarna hitam yang bertekad benang emas yang direka khas sebagai tanda menjunjung kasih di atas kehadiran baginda ke majlis tersebut.

Selepas gimik pelancaran selesai, Tunku Azizah berkenan melihat peragaan busana.

Sebelum baginda dan anakandanya berangkat meninggalkan majlis, baginda berkenan meluangkan masa lebih 20 minit untuk melawat reruai yang mempamerkan hasil batik, tenunan dan produk kraf yang lain.

Festival yang memasuki tahun ketiga menghimpunkan kira-kira 50 pereka fesyen tempatan dari seluruh negara.

Festival yang dicetuskan penganjurannya pada tahun 2017 itu dianjurkan bersama pereka fesyen Dwen Raha, bersempena Program Bulan Rekabentuk Kuala Lumpur 2019 (KUL Design Month 2019) untuk edisi tahun ini, dan acaranya dimeriahkan dengan kehadiran pereka tersohor dan ikon dalam bidang peragaan fesyen seperti Hatta Dolmat, Man Kajang, Shanell Harun, Shazreeyana Syukri dan Sanjeda John.

http://www.examitpass.com

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas