Berita

KUD 2019 platform kembangkan perniagaan desa

PENGUNJUNG mendapatkan maklumat produk daripada gerai-gerai pempamer milik usahawan desa.
- Diterbit 26 Oktober 2019 9:56 AM MYT

PENGANJURAN Karnival Usahawan Desa 2019, di Dataran Putrajaya yang mengetengahkan usahawan luar bandar baru-baru ini mampu melonjak serta mengembangkan pasaran produk tempatan ke luar negara.

Ini kerana, menerusi platform tersebut, pengunjung yang turut terdiri daripada pelabur dari dalam dan luar negara dapat melihat produk keluaran tempatan yang dipamerkan dengan lebih jelas sekali gus merasa yakin untuk mempromosikannya.

Menurut pengusaha bersama XCabin, Azman Putra Ahmad, penganjuran KDU memberi peluang kepadanya untuk mengetengahkan perniagaan ikan laga atau ikan karin (betta) kepada pelabur-pelabur luar.

Turut menternak ikan kecil yang berwarna-warni dan unik itu, katanya, walaupun haiwan akuatik itu hanya dijadikan ikan hiasan namun harganya mampu mencecah ribuan ringgit.

Selain itu, ujarnya, spesies-spesies tertentu seperti wild betta, Giant, fullmoon dan halfmoon mempunyai permintaan tinggi daripada penduduk tempatan.

“Bentuk, corak, warna dan ukiran pada sisik ikan laga menjadi penentu kepada harga. Seperti di Thailand baru-baru ini, harga seekor ikan laga bernilai lebih RM6,000 kerana warnanya yang melambangkan bendera negara itu,” katanya.

Ekoran itu, Azman yang juga pesara mengambil keputusan mendalami perniagaan ikan hiasan betta selain menjadikannya sebagai terapi minda.

Dia juga kini fokus untuk menghasilkan ikan bergred tinggi supaya dapat menembusi pasaran antarabangsa selain menyertai ekspo atau pameran kerajaan.

Mengulas tentang harga jualan pada masa ini, katanya, di tapak KUD, harga yang ditawarkan adalah sekitar RM10 hingga RM50 mengikut warna, bentuk dan jenis ikan laga.

Bagi wakil Bahagian Perkhidmatan Komuniti Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj), Khairul Faizi Mohd. Khorish, penganjuran KUD membantu peserta-peserta program Projek Pembangunan Usahawan mempromosikan produk yang dihasilkan selepas menamatkan latihan selama enam bulan.

“Di KUD, enam usahawan yang dilatih di bawah Projek Pembangunan Usahawan menjual produk mereka. Selain itu, penganjuran tersebut juga dilihat mampu mengembangkan lagi perniagaan-perniagaan golongan sasar,” jelasnya.

Karnival hasil inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang berlangsung selama lima hari hingga Isnin lalu turut menyediakan pelbagai program dan aktiviti menarik kepada pengunjung.

Penganjuran kali ini membabitkan 1,000 pempamer menerusi segmen Pameran dan Jualan Produk Usahawan Desa termasuk kios Selebpreneur serta Usahawan Sosial; Pameran Inovasi dan Jualan Mesin; Pameran dan Jualan Laman Ternakan serta Laman Tani; kios makanan dan minuman (f&b) serta trak makanan dan program Keusahawanan KPLB.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas