Berita

Puteri bukti galas kemampuan

KELINCAHAN dan ketinggian Puteri Intan menarik perhatian penonton.
- Diterbit 29 Ogos 2019 5:40 PM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

DIA sama sekali tidak menyangka daripada tidak tahu menahu tentang sukan bola jaring akhirnya kini muncul sebagai atlet harapan negara dalam sukan tersebut. Demikian cerita penjaring gol muda, Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli, 19.

Mengimbau kenangan ketika alam persekolahan, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Sentul 1, Kuala Lumpur ini mengakui dia diminta oleh gurunya untuk mencuba sukan tersebut memandangkan faktor ketinggiannya yang bersesuaian.

Tidak sesekali membantah permintaan gurunya, dia yang ketika itu baru berusia 10 tahun tidak menyangka, akhirnya penglibatan pertama itu membuahkan minat yang mendalam terhadap sukan bola jaring.

Ditambah dengan sokongan padu daripada kedua-dua ibu bapa, pencapaiannya semakin menyerlah dalam dunia sukan. Malah satu persatu kejayaan berjaya dirangkul oleh atlet muda Wilayah Persekutuan ini.

“Mereka sangat menyokong apa sahaja yang saya lakukan lebih-lebih lagi dalam sukan. Setiap kali kejohanan mereka akan turun untuk memberi kata-kata semangat dan dorongan kepada saya dan pasukan,” ujarnya yang memiliki ketinggian 180 sentimeter.

Bercerita lanjut tentang sukan kegemarannya ini, menurut Puteri, keyakinan yang tinggi menjadikannya lebih bersedia setiap kali ingin mengharungi perlawanan. Malah ia turut membantu menewaskan pasukan lawan.

“Setiap kali masuk ke medan perjuangan saya akan set minda untuk lebih yakin. Secara tidak langsung, kemenangan diperoleh dan seterusnya menyuntik keyakinan untuk ke saingan seterusnya,” ujar anak sulung daripada empat orang adik-beradik ini.

Berkongsi resipi kejayaannya, pemain muda yang berasal dari Kuala Lumpur ini mengakui setiap pemain perlu memiliki rasa ingin menang dan jangan sesekali dilihat terlalu lemah di hadapan pihak lawan.

“Sebagai pemain kita perlu belajar menyerap segala tekanan dan tahu mengatur strategi. Hal itu secara tidak langsung akan menjadikan kita individu yang digeruni pihak lawan,” ujarnya yang menjadikan pemain bola jaring dunia, Maria Tutaia sebagai idola.

Bercerita lanjut tentang perkembangan terbarunya, Puteri kini sedang melalui saingan pemilihan untuk mewakili pasukan Malaysia pada temasya Sukan SEA Filipina 2019 yang akan berlangsung November ini.

“Sepanjang sesi pemilihan, saya memberi komitmen yang baik dalam pasukan. Jurulatih dan Majlis Sukan Negara (MSN) bertindak sebagai pengadil yang mengukur tahap prestasi pemain. Seandainya terpilih, ia adalah peluang besar untuk pergi lebih jauh,” ujarnya.

Bakal jadi guru

Sungguhpun mencintai bidang sukan namun pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur ini tidak pernah menjadikan kesibukan sebagai atlet sebagai halangan. Malah dia mampu mengatur jadual kehidupannya dengan baik.

“Sepanjang mengikuti pengajian, saya juga aktif menyertai kejohanan. Malah pihak kampus juga turut berbangga apabila saya membantu Malaysia merangkul johan dalam Kejohanan Bola Jaring Jemputan Sri Lanka di Colombo pada April lalu.

“Saya ingin membuktikan kejayaan dalam bidang akademik mampu bergerak seiring dengan sukan. Kalau boleh ingin bergelar atlet yang berpendidikan tinggi. Besar harapan suatu hari nanti dapat mendidik pelajar menjadi pemain bola jaring yang hebat,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas