Berita

Atlet veteran Labuan raih 9 pingat emas di Brunei

BARISAN atlet veteran berjaya melakar sejarah di Brunei.
- Diterbit 29 Ogos 2019 5:37 PM MYT

Oleh Md. Khairul Azad Yunus

LABUAN – Persatuan Olah­raga Labuan (POAL) menerusi atlet-atlet veterennya berjaya membawa pulang sembilan emas di Kejohanan Terbuka Atletik ke-31 Trek Sukan dan Padang sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Brunei di Mini Kompleks Berakas, Brunei baru-baru ini.

Pengurus pasukan Labuan, Rosni Aliskah berkata, kontinjen Labuan diwakili 15 atlet yang terdiri daripada enam wanita dan sembilan lelaki memperoleh sembilan pingat emas, perak dan gangsa.

“Kehebatan mereka beraksi tidak dapat dipertikaikan lagi biarpun di usia emas. Itu sesuatu yang amat membanggakan semua pihak. Diharap mereka akan meneruskan kejayaan pada masa akan datang.

“Datuk Abdol Mulok Awang Damit menyumbang dua emas menerusi acara 80 meter lari ber­pagar dan lompat jauh bagi kategori umur 65 hingga 69 sementara atlet Martha Basa Lokman pula menerusi acara melempar cakera bagi kategori 40 hingga 44 tahun,” ujarnya.

Katanya yang merangkap Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Labuan, pingat emas ketiga dan keempat diperoleh menerusi Nur Aishah Pelagia Joseph bagi kategori 50-54 dalam acara 100 meter dan 800 meter sementara bagi kategori 30 hingga 34 tahun pula dimenangi oleh Norhani Jaafar menerusi acara 400 meter.

“Atlet veteran dalam ka­tegori 50 hingga 54 tahun, Abd. Harah @ Awang turut menyumbang pingat emas menerusi lari berpagar manakala Suwito Kardo pula mengungguli acara 400 meter dan 800 meter,” ulasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas