Berita

Puncak tertinggi Putrajaya saji panorama indah

Taman Putra Perdana
AIR pancut bertingkat memeriahkan lagi suasana di Taman Putra Perdana. - NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 15 September 2019 7:14 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI [email protected]

PASTI ramai yang tidak menyangka, Putrajaya bukan sahaja mempunyai bulatan terbesar di dunia dengan diameter 3.5 kilometer malah lokasi tersebut turut menempatkan sebuah taman yang indah dan memperlihatkan keseluruhan panorama pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan ini.

Terletak di puncak tertinggi Putrajaya, Presint 1, Putrajaya, Taman Putra Perdana melambangkan keunikan simbiosis antara manusia dan alam semula jadi.

Menariknya, taman ini mempunyai sebuah mercu tanda yang dikenali sebagai Plaza Mercu Tanda iaitu bermulanya pembangunan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan ditandatangani Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini merupakan Perdana Menteri Ketujuh pada 29 Ogos 1995.

Malah di sini jugalah terdapat Kapsul Masa yang mengandungi beberapa dokumen penting tentang sejarah dan perkembangan Putrajaya.

Di mercu tanda tersebut juga terdapat lambang bulan dan bintang dan secara tidak langsung ia menggambar agama Islam sebagai agama Rasmi Malaysia serta perpaduan 14 buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

Keindahan mercu tanda juga lebih terserlah apabila dimeriahkan dengan 11 buah air pancut yang dibina secara bertingkat dan sebaris.

Trek joging Diuruskan Jabatan Landskap dan Taman melalui Bahagian Interpretif dan Pendidikan Taman Perbadanan Putrajaya, lokasi ini juga dilengkapi trek joging serta taman permainan untuk kanak-kanak sekali gus membolehkan pelbagai aktiviti riadah dilakukan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Menyusuri trek sejauh dua kilometer, pengunjung dapat menghirup udara segar kerana taman yang berkeluasan kira-kira 63.9 hektar itu dipenuhi kira-kira 54 jenis pokok, 17 spesies palma, 63 jenis pokok renek serta paku pakis dan bunga-bungaan yang berwarna-warni. Terdapat juga bunga-bunga yang menghasilkan bau-bauan wangi seperti bunga Melor, Cempaka Telor dan Bunga Cina.

Lokasi istimewa ini juga membolehkan pengunjung menyaksikan panorama cantik Putrajaya kerana berada di puncak tertinggi selain mempunyai teropong yang ‘mendekatkan’ bangunan-bangunan ikonik seperti Bangunan Perdana Putra, Masjid Putra, Jambatan Seri Wawasan dan beberapa bangunan kerajaan yang lain.

Selain itu, pelbagai kemudahan awam disediakan termasuk surau serta beberapa mesin air tin untuk memudahkan pengunjung membeli air sekiranya penat berjalan mengelilingi taman berkenaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas