Berita

Hidangan ‘beruang meraung’ di Warung Big Bear

Warung Big Bear
NASI Lemak Kambing Bakar Beruang Meraung. - NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 15 September 2019 7:20 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI [email protected]

Nasi Lemak merupakan juadah kegemaran masyarakat majmuk Malaysia dan ia antara menu wajib yang tidak mampu ditolak. Keenakannya mendapat perhatian sesiapa sahaja tidak kira kaum sejak zaman berzaman.

Malah ia juga mendapat permintaan yang tinggi pada sebelah malam. Maka tidak hairanlah banyak peniaga yang berlumba-lumba untuk mengetengahkan menu pilihan ramai ini dengan mempelbagaikan lauk-pauknya.

Salah satunya, Warung Big Bear yang terletak di Taman Jasmin, Kajang, Selangor. Warung yang terletak bersempadan antara Kajang dan Cheras, Kuala Lumpur ini baru dibuka beberapa bulan lalu namun sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Menurut salah seorang pemiliknya, Mohd. Ikhwan Ab. Ghani, 35, atau dikenali dengan panggilan Ambo, pelbagai menu nasi lemak yang terdapat di warung tersebut antaranya Nasi Lemak Kambing Bakar Beruang Meraung, Nasi Lemak Ayam Beruang Meraung dan Nasi Lemak Daging Bakar Meraung.

“Di sini kami mencipta resepi nasi lemak yang hebat supaya pelanggan tidak akan berasa jemu. Daging serta ayam yang disajikan, diperap terlebih dahulu dengan rempah-ratus yang didatangkan khas dari Kuala Lipis, Pahang.

“Ia dihidangkan ketika masih panas di samping sambal pedas yang membangkitkan selera. Bukan itu sahaja, nasi lemak ini merupakan nasi lemak pandan. Selain rasanya yang lebih enak, nasi berwarna hijau tersebut mampu menarik perhatian,” ujarnya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Katanya, nasi lemak yang terdapat di Warung Big Bear turut dihidangkan bersama keropok sebagai pelengkap rasa. Selain itu, terdapat juga aneka roti seperti Roti Bakar Telur Goyang, French Toast Special, French Toast Cheese Special dan sebagainya.

“Roti yang kami gunakan juga ditempah khas untuk menjaga kualiti serta rasa. Ia lebih tebal dan lembut daripada roti biasa yang ada di pasaran. Itu merupakan salah satu kelebihan yang terdapat di warung ini,” ujarnya.

Menurut Ambo, harga makanan yang terdapat di warung mereka amat berpatutan serendah RM3.50 bagi sekeping roti dan RM5 untuk sepinggan nasi lemak.

“Harga merupakan faktor utama yang akan membuatkan pelanggan datang kembali. Kami ingin memastikan setiap pelanggan tidak terbeban dengannya selain mementingkan keenakan makanan tersebut,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang Warung Big Bear, menurut Ambo, ia adalah cetusan idea rakan kongsinya yang dikenali sebagai Mohd. Zaidi Yatim, 39, yang pernah berniaga Nasi Grenade di bazar Ramadan pada bulan puasa lalu.

“Sambutan terhadap resepi nasi yang berasal dari Belantara itu sangat menggalakkan. Bermula dari situ, kami bertiga sepakat membuka gerai pada sebelah malam bersama salah seorang lagi rakan kongsi, Zainudin Sefeai, 34,” ujarnya.

Bakal melebarkan perniagaan Warung Big Bear, menurut Zaidi, mereka sedang dalam proses untuk menggunakan perkhidmatan aplikasi Food Panda bagi memudahkan penghantaran kepada pelanggan.

“Dari semasa ke semasa pelbagai menu akan disajikan di sini termasuklah Nasi Grenade, satay dan sebagainya. Buat masa ini, kami masih menumpang tapak gerai peniaga lain dan Insya-Allah bakal mempunyai tapak sendiri pada masa akan datang,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas