Berita

Program Kasih Ramadan YWP-BSN: Libat empat lokasi sepanjang Ramadan

ZAHIR (tengah) bersama Azizah (dua kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada wakil pengurusan Masjid Zaid Bin Thabit
- Diterbit 29 Mac 2024 1:17 PM MYT

PROGRAM Kasih Ramadan YWP-BSN anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) akan dilaksanakan di empat buah kawasan sekitar Wilayah Persekutuan sepanjang Ramadan ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Ts Zahir Hassan berkata program tersebut diadakan bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti kebajikan, pendidikan serta program keagamaan khusus kepada golongan yang memerlukan di sekitar Kuala Lumpur.

“Sebagai permulaan, YWP telah melaksanakan program ini dengan pengisian maklumat berhubung Literasi Kewangan BSN Ringgit Dijaga Komuniti Sejahtera selama tiga jam bertempat di Perkarangan Masjid Zaid Bin Thabit kepada 35 peserta terdiri daripada penduduk sekitar Bandar Tun Razak.

“Ia diadakan bertujuan untuk membekalkan individu dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam menguruskan kewangan para peserta dengan lebih baik dan membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.

“Dalam masa yang sama, program ini juga turut memberikan motivasi kepada 20 pelajar asnaf pilihan melalui penyerahan BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang merupakan produk simpanan BSN di mana pelanggan boleh menyertai Cabutan BSN SSP serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju berkata program tersebut dilihat mampu memberi banyak manfaat kepada masyarakat khususnya kepada golongan sasar terdiri daripada peniaga, suri rumah, asnaf dan miskin bandar.

“Kalau kita lihat di Kuala Lumpur misalnya banyak penjaja dan peniaga kecil tetapi kadangkala mereka telah menjaja lebih 10 tahun namun selepas tempoh itu pengurusan kewangannya masih sama atau mendatar. Jadi, dengan adanya kursus seperti ini, ia dapat membantu golongan sasar untuk menstabilkan semula kewangan mereka.

“Sebelum ini juga, YWP telah melaksanakan kolaborasi program bersama syarikat TikTok Shop Malaysia di mana seramai 30 usahawan dalam kalangan peniaga mikro berpendapatan rendah (B40) terpilih untuk mendapat bimbingan dan perkongsian tentang pemerkasaan ekonomi jualan di platform tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata inisiatif yang digerakkan oleh YWP dan BSN ini sememangnya dapat membantu golongan sasar untuk menguruskan kewangan dengan sebaiknya.

“Ini adalah langkah penting dan wajar diteruskan apabila BSN mengeluarkan satu kursus kemahiran untuk menguruskan kewangan terutama kepada para peniaga. Bisnes mereka mungkin maju tapi tidak tahu hendak menggali duit dengan betul.

“Selain itu, pada program ini juga, kita turut menyampaikan sumbangan bakul makanan Gerobok Kasih kepada 100 orang golongan yang memerlukan dan diharapkan ia dapat meringankan beban mereka,” kata beliau.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas