Berita

RM2.5 juta naik taraf infrastruktur

NORIDAH (kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Kampung Belukut, Asmadi Ahmad ketika melawat kampung berkenaan baru-baru ini
- Diterbit 10 Mei 2024 11:26 AM MYT

KAMPUNG Angkat MADANI Kampung Belukut menerima peruntukkan berjumlah RM2.5 juta dari Kementerian Kewangan (MOF) bagi pelaksanaan pelbagai program dan pembangunan infrastrukur dibawah kelolaan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Ketua Pengarah JWP, Datuk Noridah Abdul Rahim berkata Kampung Belukut dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh (MOF) iaitu tahap liputan kemudahan asas sedia ada pada kadar 50 peratus yang memerlukan penyelenggaraan dan naik taraf seiring dengan keperluan penduduk.

Katanya, dengan keluasan 38.446 hektar dan jumlah penduduk seramai 600 orang, Kampung Belukut mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan.

“Dengan pengiktirafan ini, MOF telah meluluskan peruntukkan bagi melaksanakan projek-projek seperti membaik pulih jalan kampung, pemasangan lampu jalan serta menaik taraf balai raya secara gotong-royong.

“Selain itu, program bukan fizikal juga turut dilaksanakan untuk menyokong keperluan masyarakat setempat menerusi inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) seperti sesi ramah mesra dan aktiviti gotong royong bersama komuniti Kampung Belukut,” katanya kepada pemberita pada Program Bertemu Mesra bersama Komuniti Kampung Angkat MADANI Kampung Belukut, baru-baru ini.

Pada program itu, Noridah turut menyerahkan sumbangan one-off kepada lebih 140 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar secara bersasar di kampung itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemantauan terhadap pelaksanaan program di kampung itu akan dijalankan melalui laporan kemajuan projek dan program yang dikemukakan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri melalui sistem pemantauan dan pelaporan Dashboard Kampung Angkat Madani (D-KAT Madani).

“Saya mengharapkan agar pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI dapat membawa manfaat yang besar kepada masyarakat Kampung Belukut serta menjadi model pembangunan yang holistik dan berdaya maju di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas