Berita

Kenaikan gaji penjawat awam, PM pacu naikkan lantai ekonomi rakyat

KENAIKAN gaji dapat meningkatkan kuasa beli rakyat
- Diterbit 10 Mei 2024 8:40 AM MYT

PELBAGAI sektor terus memainkan peranan serta menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di Malaysia.

Negara telah menunjukkan daya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global, dengan tumpuan untuk menggalakkan pertumbuhan mampan dan menarik pelaburan asing.

Malah, kerajaan memainkan peranan penting dalam membentuk dasar ekonomi dan memacu inisiatif untuk meningkatkan prestasi ekonomi.

Malaysia telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang stabil sejak beberapa tahun, disokong oleh sektor seperti pembuatan, perkhidmatan dan pertanian.

Negara juga berjaya mencapai kemajuan yang ketara dalam perindustrian dan penggunaan teknologi, yang telah memacu pembangunan ekonominya.

Dengan penekanan yang kuat terhadap inovasi dan keusahawanan, Malaysia telah meletakkan dirinya sebagai pemain yang berdaya saing dalam pasaran global.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenaikan gaji sektor awam mampu memberi impak yang positif terhadap ekonomi negara.

“Kalau kita lihat, sudah lama tiada kenaikan gaji sektor awam, justeru ia sudah tiba masanya. Dalam masa sama ia juga mampu memberi sumbangan positif atau signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Bila ada kenaikan maka kuasa beli akan meningkat, ini memberi satu aktivtiti yang baik dalam pasaran ekonomi domestik, yang mampu meningkatkan pasaran ekonomi negara secara meluas,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut Mohd Afzanizam, ia juga akan meningkatkan produktiviti syarikat yang akan melancarkan lagi dasar-dasar pembangunan negara.

“Apabila gaji ditingkatkan, kuasa beli akan bertambah, ekonomi juga akan bergerak aktif yang turut mengembangkan ekonomi domestik.

“Malah ia juga mampu meningkatkan produktiviti kerja, sebagai pemangkin semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik, di samping melancarkan aktiviti ekonomi dan urusan negara bagi dasar-dasar pembangunan negara,” jelasnya.

Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga cakna terhadap masalah dihadapi rakyat pada masa sama mengembangkan ekonomi demi kelangsungan hidup dan pembangunan negara.

“Kerajaan juga faham, dengan beberapa cukai baharu diperkenalkan, pengurangan subsidi, ini sedikit sebanyak menambah perbelanjaan negara, daripada situ, duit tersebut disalurkan semula kepada rakyat.

“Dalam masa yang sama, kerajaan sedar dengan pertumbuhan ekonomi domestik ini juga mampu meningkatkan perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Jelas Mohd Afzanizam, pelbagai lagi bantuan serta inisiatif yang dilaksanakan untuk menggalakkan rakyat berbelanja.

“Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga mengumumkan pengenalan Akaun 3 bagi pengeluaran fleksibel, kenaikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pelbagai lagi inisiatif yang telah atau sedang dilaksanakan.

“Faktor utamanya adalah untuk memacu perbelanjaan domestik dalam kalangan pengguna. Di situ kerajaan menjaga baik pasaran ekonomi domestik,” ujarnya.

Kata beliau lagi, apabila ekonomi mula bergerak aktif, ia menunjukkan perkara positif yang dapat menarik minat pelabur asing untuk melakukan pelaburan dalam negara.

“Secara jangka panjang juga, bila ekonomi terus aktif sudah pastinya negara mempunyai kuasa kewangan yang kukuh, ia sekali gus menarik minat pelabur asing untuk terus melabur.

“Selain merancakkan ekonomi, faktor tersebut juga akan meningkatkan daya saing dan pelabur untuk membeli instrumen kewangan seperti pasaran saham, bond dan macam-macam lagi,” katanya.

Malahan jelasnya lagi, ia juga dapat meningkatkan nilai ringgit itu sendiri.

“Kita tahu kekuatan nilai ringgit juga bergantung kepada pelbagai faktor, namun, perkembangan ekonomi ini mampu menarik minat pelabur, menggerakkan atau mengembangkan ekonomi yang mampu memainkan peranan kekuatan ringgit itu.

“Walaupun nilainya akan sering berubah kerana faktor luaran namun, saya percaya negara berada di landasan tepat dengan perkembangan ekonomi negara dan kesejahteraan atau kelangsungan hidup rakyat,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas