Berita

Iftar@KL ubah persepsi masyarakat

PROGRAM Iftar@KL turut disertai pelancong asing
- Diterbit 29 Mac 2024 1:23 PM MYT

KETUA Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berharap persepsi masyarakat terhadap JKKN dapat diubah menerusi program Iftar@KL yang dianjurkan pada setiap tahun.

Beliau berkata pihaknya mahu masyarakat memahami dengan lebih jelas peranan termasuk elemen kebudayaan dan kesenian yang diterapkan oleh jabatan berkenaan.

“Sepanjang 12 kali penganjuran Iftar@KL ini, kami masih bermatlamat yang sama iaitu memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah serta mengeratkan silaturahim antara kaum.

“Namun, kami juga ingin mengalih pandangan masyarakat terhadap JKKN di mana segelintirnya menganggap kami hanya sebagai insititusi tari-menari, jadi kami ingin menerangkan bahawa elemen kebudayaan itu sebenarnya adalah meluas.

“Dalam iftar@KL ini juga, kalau kita lihat apa yang ingin diterapkan sebenarnya adalah nilai-nilai murni dan jati diri kepada masyarakat khususnya generasi muda melalui aktiviti gotong-royong dan program sukarelawan.

“Mungkin bagi sesetengah orang Iftar@KL ini hanya acara berbuka sahaja namun di sebaliknya, kami ingin menghidupkan kembali semangat kesukarelawanan dalam kalangan anak muda khususnya pelajar sekolah, universiti dan belia, ini yang kami mahukan,” katanya.

Mengulas mengenai Iftar@KL 2024, Mohd Amran berkata edisi ke-12 membawa kelainan dengan menerapkan elemen kebudayaan dan tradisi Islam iaitu konsep makan dalam dulang.

“Biasanya pada setiap tahun, kami memberikan makanan kepada pengunjung secara lunch box tapi tahun ini kami cuba menerapkan kembali konsep empat orang makan sedulang yang mana ia merupakan sunnah Rasulullah SAW.

“Alhamdulillah, pada hari pertama, sebanyak 30 dulang disediakan untuk pelajar-pelajar tahfiz dan dalam masa yang sama kami juga turut bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menganjurkan Program Al-Quran Exchange,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas