Berita

55 kenderaan dikompaun menerusi Operasi Bersepadu Halang

Kredit: DBKL
- Diterbit 10 Mei 2024 4:15 PM MYT

SEBANYAK 55 buah kenderaan telah dikompaun dalam satu Operasi Bersepadu Halang Siri 1/2024 sekitar Jalan Bukit Bintang, Jalan Changkat dan Jalan P. Ramlee di Kuala Lumpur kelmarin.

Operasi yang bermula pukul 9 malam itu dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

DBKL dalam satu kenyataan berkata sejumlah 112 buah kenderaan melibatkan lori, kereta dan motorsikal telah diperiksa dan dibuat tindakan pengeluaran notis kompaun kepada pemilik atau pemandu dan turut dilakukan tindakan menunda kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas.

“DBKL mengeluarkan sejumlah 50 notis kompaun dan 14 tindakan tunda ke atas pemilik atau pemandu kenderaan yang membuat kesalahan halangan lalu lintas termasuk meletak kenderaan di laluan awam dan laluan Orang Kelainan Upaya (OKU) menerusi kesalahan dibawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kenderaan yang ditunda telah dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk penyimpanan sementara dan proses tuntutan dokumentasi,” katanya.

DBKL turut memaklumkan pihak PDRM telah mengeluarkan sebanyak lima notis kompaun pelbagai kesalahan halangan lalu lintas termasuk kepada pemandu kenderaan yang gagal mengemukakan dokumen cukai jalan atau lesen memandu tamat tempoh.

“Kerjasama dan tindakan bersepadu ini, akan diteruskan dilokasi tumpuan (hotspot) yang lain. Pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan isyarat lalulintas yang telah ditetapkan pihak berkuasa,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas