Berita

Produk Brahim’s masuki online

|NUR FATIN menunjukkan produk Brahim’s ketika pelancaran produk dalam talian syarikat engeluar makanan itu di platform e-dagang di Bangi baru-baru ini.
- Diterbit 19 Julai 2019 1:51 AM MYT

BANGI – Dewina Holdings Sdn. Bhd., pemilik produk jenama Brahim’s menyasar peningkatan jualan pek makanan sedia dimakan sebanyak 10 peratus bagi tempoh tahun pertama operasi e-dagangnya.

Pengarah Urusan Kumpulan Dewina, Nur Fatin Ibrahim berkata, dengan promosi yang baik dan perkhidmatan berkualiti, syarikat itu diyakini mampu mencapai sasaran jualan sebanyak 100,000 paket makanan.

“Syarikat kami mula menyertai platform dalam talian pada Mac lalu dan setakat ini sambutan sangat menggalakkan dengan kira-kira 35,000 pek makan dihantar dalam tempoh empat bulan, dengan purata 300 hingga 500 pek makanan setiap hari,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kedai dalam talian Brahim’s di platform e-dagang Lazada dan Shopee baru-baru ini.

Lebih 50 produk Brahim’s terdiri daripada sajian sedia dimakan seperti nasi, bubur dan pelbagai hidangan sehingga sos sedia dimasak serta pasta dijual di kedai dalam talian tersebut.

Dalam pada itu, produk lain yang dijual ialah sembilan produk baharu, Bubur Nasi Ayam, Bubur Lambuk, Sambal Sotong, Sambal Daging, Sambal Telor Puyuh, Daging Masak Hitam, Rendang Tok, Bubur Pulut Hitam, dan Nasi Putih yang tidak terdapat di pasaran kerana ia khusus dikeluarkan untuk kedai dalam talian.

Pelancaran yang diadakan sempena ulang tahun ke-31 syarikat tersebut, kedai dalam talian Brahim’s menawarkan sehingga 30 peratus diskaun ke atas semua produk mereka yang dijual di Lazada dan Shopee hingga 23 Julai ini.

Produk jualan terlarisnya ialah nasi goreng kampung, beriyani kambing, nasi lemak dan beriyani ayam.

Setakat ini, syarikat itu telah mengembangkan perniagaannya ke Jepun, Jordan, Australia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Semua produk Brahim’s boleh didapati di pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas