Berita

Keindahan seni muzik Islam

TENGKU AINA
TENGKU AINA
- Diterbit 19 Julai 2019 1:57 AM MYT

MUKADDIMAH SENI muzik dan vokal sering menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat Islam terutama apabila membabitkan soal ikhtilaf hukum. Namun tanpa disedari sebenarnya seni vokal cukup dekat dengan Islam seperti seni taranum malah sepanjang perkembangan tamadun Islam, kehebatan seni muzik dalam Islam begitu dikagumi masyarakat dunia.

Atas kesedaran itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) bakal membawakan Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa (PIIACUF) 2019 pada 25 hingga 28 Julai ini dengan bertemakan seni muzik dan vokal dunia Islam.

Ikuti temubual Pengarang Wilayahku, HELMI MOHD. FOAD bersama Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, TENGKU AINA TENGKU ISMAIL SHAH mengenai tarikan festival tersebut.

WILAYAHHKU: Apakah kelainan yang dibawakan PIIACUF pada edisi kali ini dan tarikan-tarikan yang bakal ditonjol?

TENGKU AINA: PIIACUF telah kita diadakan sejak tahun 2013 untuk menjadikan Putrajaya sebagai pusat kegemilangan kesenian dan kebudayaan Islam alaf baharu. PIIACUF yang sudah memasuki edisi ke-5 penganjurannya akan diadakan pada 25 hingga 28 Julai ini iaitu Khamis hingga Ahad di Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3. Festival tersebut bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari. Perbezaannya, selalunya di Malaysia, PIIACUF memang sentiasa dinantinantikan kerana ia mencakupi aspek antarabangsa dan bersifat holistik melibatkan pelbagai jenis pameran dan tema yang berbeza pada setiap kali penganjurannya.

WILAYAHKU: Pada tahun ini, apakah tema yang akan dibawakan oleh PIIACUF 2019?

TENGKU AINA: PIIACUF 2019 akan membawakan tema “Keindahan Seni Muzik dan Vokal Dunia Islam” atau dalam bahasa Inggerisnya “The Splendour Of Vocal And Music Of The Islamic World”. Berbeza festival pada tahun-tahun lepas, setiap tahun Perbadanan Putrajaya akan membawa tema berlainan bagi setiap penganjuran PIIACUF.

Jika tema sejarah kita sudah lakukan pada edisi pertama iaitu Dari Andalusia ke Putrajaya. Kita bawakan kegemilangan Andalusia dan ambil iktibar keruntuhan empayar Islam itu dahulu. Kita juga pernah buat tema perjalanan perdagangan Islam dan tempat-tempat keajaiban dunia Islam.

Sebagai contoh pada tahun 2016, PIIACUF membawa tema Keagungan Seni Tekstil Dunia Islam yang menampilkan pameran dan persembahan mantap dari penggiat seni dari negara antarabangsa serta menampilkan contoh-contoh tekstil dari seluruh dunia seperti tekstil sulam, tekad, ikat, tenun, batik dan lain-lain. Pada tahun ini, tema “Keindahan Seni Muzik dan Vokal Dunia Islam,” akan memfokuskan terhadap kepelbagaian muzik dan vokal dunia Islam sebagai medium bagi menghubungkan manusia sejagat.

Para pengunjung yang hadir akan dapat melihat pelbagai alat muzik, mengalami unsur-unsur bunyi, muzik dan teater yang digunakan sebagai medium untuk menyampaikan emosi. Pengunjung boleh menikmati dan belajar tentang koleksi instrumen bukan sahaja melalui pameran, tetapi juga melalui ceramah, demonstrasi langsung, konsert dan penerbitan. Kita tunjukkan pelbagai jenis peralatan muzik dari dunia Islam.

Sebelum ini kita hanya tonjolkan seni tampak. Sebenarnya dalam kesenian vokal Islam paling penting ialah seperti tarannum dan azan. inilah kebesaran alunan azan sebagai komunikasi untuk menarik perhatian masyarakat. Selepas berkurun lama Islam berkembang, laungan azan berkembang mengikut kebudayaan masyarakat tempatan. Jadi kali ini kita akan bawakan bacaan azan berlainan maqam dan versi bacaan surah Al-Fatihah termasuk bakal menampilkan bekas qari Diraja Saudi, Sheikh Abdul Kareem Omar Al-Fatani Al-Makki.

WILAYAHKU: Apakah pengisian utama yang bakal ditonjolkan pada tahun ini?

TENGKU AINA: Pada tahun ini, PIIACUF akan membawakan kelainan dengan membawakan Pameran Augmented Reality (AR) yang julung-julung kali diadakan di Putrajaya. Kita tidak nafikan dunia sains dan teknologi kini yang banyak memberi manfaat kepada semua dan di dalam ajaran Islam pun menyeru umat Islam untuk mengejar pengetahuan dalam erti kata yang luas.

Dengan aspirasi sedemikian, PIIACUF 2019 akan menggabungkan teknologi AR di dalam pameran untuk mencipta pengalaman yang unik serta tidak dapat dilupakan semasa PIIACUF2019.

Melalui teknologi AR ini, pengunjung boleh memuat turun aplikasi melalui telefon bimbit dan memasukkan diri mereka dalam pameran ini. Ada lima jenis pameran diadakan di sekitar Kiblat Walks, mereka boleh ada dalam dalam pameran dan latar belakang boleh bergerak.

WILAYAHKU: Bagaimana pengunjung dapat merasakan suatu dimensi yang berbeza pada festival kali ini?

TENGKU AINA: Pengalaman tersebut boleh dirasai apabila pengunjung menghayati pameran interaktif 99 nama Allah; pameran interaktif membawa pengunjung berjalan melihat perjalanan para ulama atau tokoh Muslim terkenal seperti Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina (Ibnu Sina), Abu Abdullah Al-Battani (Al-Battani), Abu Raihan Al-Biruni (Al-Biruni) dan Abu Abdullah Mohammad Ibn Musa al-Khawarizmi (Al-Khawarizmi). Selain itu pengunjung boleh melihat pameran interaktif instrumen muzik di dunia Islam. Selain itu, kita juga akan menampilkan keindahan dan keunikan flora dan fauna di Putrajaya.

WILAYAHKU: Kebiasaannya pada mana-mana festival sudah pasti ada persembahan hiburan, bagaimana dengan PIIACUF 2019.

TENGKU AINA: Kita akan adakan konsert mega yang boleh dianggap sebagai acara kemuncak festival ini. Konsert ini jarang-jarang ada di Putrajaya, jadi Perbadanan Putrajaya menjemput orang ramai bersama-sama keluarga masing-masing ke Konsert PIIACUF 2019 yang akan diadakan pada 27 Julai ini (Sabtu) jam 8.00 malam.

Mari kita santai-santai di hadapan pejabat Perbadanan Putrajaya mendengar keindahan muzik dan lagu-lagu indah dan puisi Islam dengan penampilan bakat tempatan yang hebat seperti Datuk Ramli Sarip, kumpulan InTeam, UNIC, Raihan, Zul Handy Black, Mel Wings dan Ijam Medicine.

Pada kali ini, Ekspo Buku Islam Putrajaya akan membawakan 10,000 naskhah buku dengan harga yang sangat istimewa dari pelbagai jenis antaranya buku kanak kanak, agama, motivasi, pendidikan, umum, komik, majalah, masakan dan lain lain melibatkan pelbagai penerbit. Selain itu, apa yang menarik kita juga anjurkan Festival Kanak-Kanak Putrajaya dan Pertandingan Ceritalah Lagi yang dibawakan oleh Dewan Bahasa Pustaka (DBP).

WILAYAHKU: Bagaimana dengan penglibatan negara luar, apakah program yang bakal ditampilkan oleh mereka?

TENGKU AINA: Pada tahun kita telah menerima peserta-peserta daripada luar negara yang terdiri daripada negara organisasi dan individu luar seperti Turkey, Uzbekistan, Maghribi, Iran, IRCICA dan tetamu dari Sejong City, Korea selain penglibatan anggota International Council of Organizations of Folklore Festivals and Folk Arts (CIOFF) dari Bangladesh, Indonesia dan Iran. Mereka akan terlibat dalam pavilion antarabangsa, persembahan kesenian dan kebudayaan, demo kaligrafi dan kraf tangan.

WILAYAHKU: Selain itu apakah lagi tarikan di PIIACUF 2019?

TENGKU AINA: Negeri-negeri akan mempamerkan seni dan hasil kraf masing-masing. Negeri-negeri juga membawakan tarian tradisional mereka seperti Pahang bawakan hasil tenun dan Melaka pamerkan Silat Hang Tuah.

Pameran Balai Seni Negara juga akan membawakan lukisan yang diintepretasikan dengan tema muzikal kita di mana pelukis-pelukis akan berinteraksi dengan orang ramai. Selain itu, kita juga adakan jualan dan demonstrasi hidangan diraja melibatkan menu antaranya Kari Kepala Ikan (Raja Perlis); Nasi Dagang (Sultan Terengganu); Bihun Sup dan Mi Rebus (Sultan Kedah) dan Puding Diraja (Pahang).

Kita juga adakan Karnival Food Truck dengan menampilkan lebih 40 pengendali food trucks yang menawarkan pilihan juadah makanan kepada pengujung. Selain itu, kita juga adakan persembahan kebudayaan Malaysia seperti wayang kulit; dikir Barat (Kelantan), zapin; irama Ghazal; permainan gambus (Johor); nazam dan dondang sayang (Melaka); lagu tradisional seperti anak udang, itik gembo-gembo dan gamelan (Terengganu).

Dalam masa sama PIIACUF 2019 turut menganjurkan teater kanak-kanak “Jom Solat” dan teater “Siti Zubaidah di Taman Wetland Putrajaya dan sempena festival ini turut diadakan Forum Pelancongan Islam Antarabangsa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas