Berita

PPK Putrajaya komited komersialkan tanaman jagung, nanas

GHAZALI (dua kanan) bertukar MoU dengan Abd Rahman sambil disaksikan Pengerusi NAFAS, Datuk Zamri Yaakob pada Ahad.
- Diterbit 28 November 2021 3:00 AM MYT

PERTUBUHAN Peladang Kawasan (PPK) Putrajaya komited komersialkan tanaman jagung dan nanas bagi membantu meningkatkan pendapatan ahlinya.

Pengerusinya, Datuk Ghazali Hassan berkata, PPK Putrajaya baru berusia tiga tahun dan hanya mempunyai 116 ahli yang masingmasing mengusahakan kebun komuniti.

Ujarnya, pada masa ini, kebanyakan ahli yang mengusahakan kebun komuniti hanya memasarkan hasil tanaman kontan dan perolehan pendapatan masih sedikit.

“Dengan adanya tanaman dalam kuantiti yang banyak, hasil pendapatan PPK akan bertambah. Ia sekali gus memberi manfaat kepada ahli.

“Kita sudah memperoleh mandat penggunaan tanah seluas 10 ekar di Presint 20 daripada Presiden Perbadanan Putrajaya dan ia akan diusahakan,” katanya kepada
Wilayahku selepas Mesyuarat Agung Tahunan PPK Putrajaya pada Ahad.

Terdahulu pada program itu, beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor yang diwakili
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN Selangor, Datuk Dr Abd Rahman Bakri bagi menubuhkan pasaraya PPK di Presint Diplomatik. Majlis tandatangan tersebut disaksikan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob.

Mengulas tentang penubuhan, Ghazali memberitahu, pasaraya itu akan mula dibuka kepada orang ramai pada awal Januari depan.

Katanya, matlamat utama adalah untuk membantu peserta PPK kerana 100 peratus produk yang bakal dijual adalah hasil serta hak milik bumiputera.

“Peserta akan diberi saham serta dividen. Selain itu, kadar faedah yang dikenakan untuk pembelian ansuran bagi ahli PPK adalah paling rendah,” jelasnya sambil menambah,

PPN Selangor menyediakan modal pusingan sebanyak RM2 juta bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

Dalam pada itu, Ghazali menyeru supaya lebih ramai individu yang mengusahakan kebun komuniti di  Putrajaya untuk menjadi ahli PPK sekali gus mendapat manfaat yang pelbagai.

“Masih ramai yang tidak sedar dan tahu manfaat sekiranya menjadi ahli PPK,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas