Atlet Wilayah

Ain Nabilah sedia ambil booster

- Diterbit 28 November 2021 1:00 AM MYT

ATLET boling padang Wilayah Persekutuan, Nur Ain Nabilah, 23, bersedia untuk menerima apa sahaja jenis suntikan dos penggalak (booster) vaksin COVID-19 yang ditawarkan kerajaan sebagai pelindung tambahan.

Menurutnya, dalam keadaan pandemik yang masih tidak menentu ini, dos tersebut amat penting lebih-lebih lagi bagi seorang atlet sepertinya yang sentiasa menyertai kejohanan dalam mahupun luar negara.

“Saya tidak sabar untuk mengambil dos penggalak kerana bimbang dengan virus ini yang masih berupaya untuk bermutasi biarpun telah mengambil dua dos vaksin COVID-19 sebelum ini.

“Lebih-lebih lagi terdapat bukti keberkesanan vaksin Sinovac misalnya yang akan berkurangan lebih cepat dan mencatatkan pesakit kategori 4 dan kategori 5 paling tinggi bagi kemasukan mingguan ke Hospital Sungai Buloh,” ujarnya yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Pfizer sebelum ini.

Tambahnya lagi, orang ramai juga patut mengambil serius hal ini sebagai perlindungan terbaik kepada tubuh selain demi kepentingan bersama keluarga tersayang.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, temu janji sedang diedarkan melalui MySejahtera tanpa perlu pendaftaran.

Beralih kepada perkembangan baharu, Nur Ain Nabilah kini sedang menjalani latihan seperti biasa di Bukit Kiara untuk persediaan sesi pemilihan ke Sukan Komanwel 2022 yang dijadual berlangsung di Birmingham, England.

“Setakat ini akan ada sesi pemilihan terlebih dahulu yang mana senarai nama akan diberitahu pada Mac depan. Saya harap berjaya terpilih seterusnya melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara.

“Saya difahamkan juga, tahun hadapan akan diadakan latihan persediaan sama ada di Bangkok, Thailand atau Afrika Selatan,” ujarnya kepada Wilayahku-WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas