Berita

Polis Wangsa Maju berjaya tumpas 10 sindiket dadah tempatan, sitaan bernilai lebih RM136,000

- Diterbit 27 Januari 2024 7:19 PM MYT

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju berjaya memberkas 10 suspek yang terlibat dengan dadah menerusi satu serbuan di kawasan Jalan Syed Putra.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Supritendan Polis (DSP) Norhisham Mustapar berkata operasi tersebut turut dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields pada 24 Januari lalu.

“Dalam serbuan tersebut,Polis telah berjaya merampas lebih kurang 432 gram pil erimin, 5420 gram ganja, 254 gram methamphetamine dan 326 gram heroin bernilai lebih RM81,000,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Norhisham, hasil saringan awal air kencing dapati enam suspek positif dadah manakala empat suspek lagi negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Pihak polis juga merampas beberapa aset sindiket untuk tujuan sitaan iaitu wang tunai berjumlah RM 17,600 termasuk dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Perodua Axia dan sebuah motosikal jenis Y15ZR yang bernilai RM55,400 dan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM 136,596,”katanya sambil menambah jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung seramai 2,500 orang penagih dadah dalam satu masa.

Norhisham berkata kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 30 Januari 2024 di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan punca bekalan dadah diperolehi.

Sementara itu Polis Kuala Lumpur berharap orang awam dapat menyalurkan maklumat berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang agar tindakan dapat diambil ke atas perkara ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas