Berita

Program Temu DBKL x Teh Hijau inisiatif dekati warga kota

- Diterbit 27 Januari 2024 7:41 PM MYT

LEBIH 3,000 warga Kuala Lumpur hadir memeriahkan Program Temu DBKL dan Program Teh Hijau Kuala Lumpur yang berlangsung di perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menzahirkan ucapan terima kasih di atas sambutan yang diberikan warga kota bersama agensi yang terlibat termasuk ahli-ahli Parlimen yang turut hadir memberikan sokongan.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tersebut bertujuan menjenamakan semula program berasaskan komuniti bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan DBKL khususnya kepada warga kota.

“Ini adalah program pertama dan julung kali diadakan berbentuk touch point melibatkan kerjasama 25 jabatan DBKL, agensi kerajaan serta Parlimen Bandar Tun Razak.

“Ia juga merupakan program pendekatan baharu dan inisiatif baik kepada warga kota di mana mereka boleh bertemu secara langsung untuk mendapatkan maklumat di samping mengambil manfaat menerusi program yang dianjurkan oleh DBKL bersama agensi lain,” katanya kepada pemberita ketika sesi sidang media.

Tambah beliau ia juga dapat merapatkan jurang di antara komuniti dengan pihak terbabit.

“Sebelum ini, banyak aduan yang kita terima daripada komuniti berhubung tindakan, pelaksanaan dan sebagainya, jadi inilah cara yang kita ambil dari sudut underground untuk rakyat mengambil manfaat melalui program yang dilakukan termasuk memberi pandangan, cadangan dan teguran untuk sebarang tindakan yang dilaksanakan di peringkat DBKL,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zaliha berkata program yang diperluaskan di 11 Parlimen ini juga dijangka akan mendapat sambutan seperti mana yang dianjurkan pada hari ini.

“Saya akan maklumkan kepada ahli-ahli setiap Parlimen untuk melaksanakan program ini di kawasan yang strategik, bila ada kawasan seperti itu, lebih ramai komuniti akan hadir,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas