Berita

Jangan abaikan suara wanita dalam proses keamanan, keselamatan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 7 Mei 2024 6:45 PM MYT

PANDANGAN dan suara wanita tidak seharusnya diabaikan dalam membuat keputusan berkaitan kemananan dan keselamatan kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata perkara itu bagi memastikan penyertaan dan perwakilan yang sama rata pada semua peringkat tadbir urus dan memecahkan halangan seperti undang-undang tidak adil, norma budaya dan bias institusi.

Bagaimanapun beliau berkata perkara itu memerlukan reformasi polisi dan institusi dan perlu dijawab oleh kerajaan, termasuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang dan dasar untuk menyokong seruan itu.

“Memperkasakan wanita dalam keamanan dan keselamatan bukan semata-mata untuk menegakkan hak dan keadilan. Ia merupakan kewajipan strategik untuk keamanan dan keselamatan yang berkekalan.

“Dengan melabur dalam pendidikan, memperkuatkan suara wanita, memastikan keselamatan dan sokongan mereka, memupuk kerjasama, dan mereformasi dasar dan institusi, kami meletakkan asas untuk wanita muncul sebagai pemangkin keamanan dan penjaga keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Second Pocket Talk: Women in Peace and Security anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di luar pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas