Berita

Polis tahan 108 warga asing di Pasar Harian Selayang

- Diterbit 27 Januari 2024 7:12 PM MYT

POLIS menahan seramai 108 pendatang asing tanpa azin (PATI) dalam satu Operasi (Ops) Taring II di Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Operasi yang bermula sekitar pukul tiga pagi itu dikuatkan dengan seramai 465 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) termasuk Jabatan Imigresen (JIM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata operasi tersebut dilaksanakan bertujuan bagi membanteras pelbagai jenayah yang berlaku di kawasan sekitar terutama melibatkan PATI.

Tambahnya, Ops Taring II turut memfokuskan membanteras sebarang aktiviti tidak sihat yang berlaku.

“Hasil pemeriksaan ke atas 213 warga asing telah dilakukan dan seramai 108 PATI telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Antara yang ditahan adalah warga Bangladesh (7), Indonesia (52), Myanmar (35), Nepal (1), India (12), dan Pakistan (1),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jelasnya lagi, kesemua yang ditahan diserahkan kepada JIM di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan lebih masa.

Menurut Allaudeen, pihak polis dibantu jabatan agensi-agensi lain akan terus menjalankan operasi khas seperti ini pada masa akan datang.

“Justeru itu, orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan yang mencurigakan atau kehadiran PATI di kawasan masing-masing kepada pihak polis.

“Pihak polis akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan dan ketenteraman negara,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas