Berita

PM umum elaun Pengurus, Penolong Pengurus PEDi naik RM500

- Diterbit 29 November 2023 10:36 AM MYT

KERAJAAN bersetuju memberi kenaikan elaun tambahan kepada 1,322 Pengurus dan Penolong Pengurus Pusat Ekonomi Digital Madani (PEDi) di seluruh negara mulai Januari tahun hadapan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan sebanyak RM500 akan diberikan kepada Pengurus dan Penolong Pengurus sebagai penghargaan dan dorongan terhadap mereka menguruskan pusat berkenaan.  

Beliau berkata elaun bagi Pengurus PEDi dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM2,500 manakala Penolong Pengurus ditambah menjadi RM2,000 daripada jumlah masa kini iaitu RM1,500. 

“Saya rasa bangga dan terharu melihat anak muda terlibat dalam PEDi. Transformasi digital menjadi tonggak dalam strategi Ekonomi MADANI dan melihat prestasi anak-anak, pengurus yang berjaya dan berdedikasi, saya nak tambah beban lagi.

“Hasrat ini supaya setiap PEDi dipantau dan memberikan laporan supaya dapat mengurus kepada kelompok lebih luas terutama anak muda dan pelajar sekolah dalam memberikan latihan kepada mereka. Perkenal pelbagai aplikasi dan kecanggihan bidang ini,” katanya ketika merasmikan Persidangan PEDi Madani 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. 

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa semua syarikat telekomunikasi (telco) membantu menyelaraskan dan meningkatkan bidang kepakaran baharu yang diperlukan di negara ini. 

“Transformasi digital memberi asakan baharu sebagai tunjang pembangunan tidak boleh mengetepikan kepentingan digital tapi harus waspada dengan budaya negatif kalau ia tidak membantu mengangkat martabat rakyat yang kurang bernasib baik kerana kemudahan itu hanya dijurus kepada satu daerah.

“Pengusaha dan pemilik syarikat telco besar ini juga harus memberi tumpuan lebih supaya agenda pembangunan tidak hanya mengenai kecanggihan teknologi tetapi membantu rakyat termasuk melalui PEDi.

“Dengan cara ini, kita memaknai apa itu keadilan mengangkat martabat negara dari sudut transformasi digital dan memastikan kemudahan itu meluas ke semua peringkat,” katanya.- WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas