Berita

Syor Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan diteliti

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 6 Mei 2024 3:35 PM MYT

KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) akan meneliti cadangan menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan, kata Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata cadangan itu dilihat bersesuaian memandangkan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Kedua-dua ini boleh kita integrasikan dalam satu dokumen, sebab Dasar Perpaduan Negara yang dibuat mengambil kira semua elemen Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.

“Perkara ini masih dalam perbincangan, kita sudah uar-uarkan kepada kerajaan. Jadi, selepas ini satu jawatankuasa akan dibentuk bersama bahagian hal ehwal undang-undang untuk membincangkan perkara tersebut,” katanya selepas merasmikan Program Kepimpinan Tun Razak 2024 anjuran Yayasan Tun Razak di sini hari ini.

Sebanyak 75 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari seluruh negara menyertai kem kepimpinan kali ke-29 itu dari 5-19 Mei di Kuala Lumpur dan Pulau Langkawi, bertujuan mencungkil bakat dan menggilap potensi generasi muda sebagai pemimpin serta profesional masa depan.

Dalam pada itu, Aaron berharap lebih banyak program sedemikian akan diadakan dalam melahirkan pemimpin hebat pada masa depan.

“Seperti di KPN kita ada banyak program kepimpinan di bawah Yayasan Tunku Abdul Rahman dan Yayasan Siswa untuk kita beri pendidikan kepimpinan kepada anak muda.

“Program seperti ini perlu sebab kita bukan sahaja mahu lahirkan pelajar yang hebat dalam bidang akademik tetapi juga bakat kepimpinan mereka,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas