Lensa

Tarikan di Gombak lemang daun lerek

- Diterbit 10 Mei 2024 9:50 AM MYT

BAGI pencinta makanan tradisi lemang, pastinya tidak asing lagi dengan Lemang Daun Lerek Greenwood yang terletak di Batu Caves, Gombak. Keunikan lemang yang dikenali hampir tiga dekad tersebut terletak pada penggunaan daun lerek berbanding daun pisang yang biasa digunakan.

Resipi turun-temurun keluarga menjadi taruhan sehingga ia menerima tempahan yang menggalakkan terutamanya ketika sambutan Aidilfitri dan rumah terbuka.

Pengurusnya, Bistamie Ariffin, 38, berkata daun lerek yang digunakan kebiasaannya ditemui di kawasan pantai timur manakala buluh pula diperolehi daripada pembekal sekitar Hulu Langat, Bentong dan Karak.

“Proses mengeluarkan isi lemang setelah dimasak sangat mudah dan cepat di mana pelanggan hanya perlu menarik pangkal daun lerek di hujung buluh tanpa memerlukan sebarang alatan seperti pisau atau parang,” ujarnya.

Memandangkan lemang tersebut mendapat permintaan yang tinggi, Bistamie berharap agar ia dapat menjadi salah satu makanan warisan tradisional yang digunakan sebagai strategi menarik pelancong ke Gombak.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan lemang daun lerek, Kedai Lemang Daun Lerek Greenwood beroperasi sepanjang tahun dengan harga bermula RM19.10 sehingga RM23.30 mengikut saiz.

Oleh: SYUQQREE DAIN, Video: HASIF HALIMI

Lensa:

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas