Berita

Sebaris artis antarabangsa… Siti Nurhaliza beri bayangan konsert mega

- Diterbit 29 November 2023 2:00 PM MYT

PENYANYI  nombor satu negara, Datuk Seri  Siti Nurhaliza memberi bayangan untuk mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekali lagi selepas rekod persembahan berskala besar yang dilakar sebelum ini diatasi kumpulan antarabangsa, Coldplay.

Menurut pelantun lagu Romansa Kita dan Magis ini,  sekiranya ditakdirkan berlaku, konsert itu mungkin akan dilakukan sebelum dia mengakhiri karier sebagai anak seni suatu hari nanti.

“Sedih dan terharu baca tulisan wartawan.

“Mungkin boleh jadi kenyataan atau mungkin tidak ya?

“Kalau nak buat di Stadium Nasional sekali lagi, mungkin sebelum saya bersara ya. Biar jadi kenangan terindah buat semua ,” ciapnya di X.

Sebelum ini, konsert berskala besar iaitu Siti Nurhaliza Fantasia Tour 19 tahun lalu dihadiri seramai 70,000 penonton.

Rekod itu bagaimanapun diatasi Coldplay yang mengadakan konsert Music Of The Spheres World Tour pada 22 November lalu dengan jumlah kehadiran sebanyak 75,000 orang.

Siti Nurhaliza Fantasia Tour merupakan satu-satunya konsert tempatan mencatatkan rekod pengunjung tertinggi di SNBJ sebelum ini.

Selain Coldplay dan Siti Nurhaliza, antara artis luar negara lain pernah mengadakan konsert di lokasi sama ialah Blackpink dengan jumlah penonton 62,000, AR Rahman (67,000) dan Jacky Cheung serta Muse (50,000). – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas