Berita

PKPB: Malaysia penuhi enam kriteria WHO

ANNUAR menjawab beberapa persolan yang dikemukakan di dalam saluran PERTIWI.
- Diterbit 2 Mei 2020 2:38 PM MYT

PUTRAJAYA – Malaysia sudah memenuhi enam kriteria yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, walaupun keenam-enam kriteria itu dipenuhi, kerajaan mengambil langkah berhati-hati dengan hanya melonggarkan beberapa aspek terutamanya berkaitan sumber ekonomi.

“Pengecualian-pengecualian sudah mula dilonggarkan secara berperingkat. Itu sebagai stage yang pertama sebelum kita mentiadakan PKP dan ia dipanggil Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana perang virus ini belum dimenangi sepenuhnya tetapi pada masa sama sudah terkawal dan kita perlu terus mengawalnya.

“Negara kita ada cara sendiri, kita tamatkan secara berperingkat kerana tidak mahu berlaku penularan semula macam berlaku di Jepun,” ujarnya dalam sidang LIVE Facebook petang tadi.

Bagaimanapun, jelas Annuar, perbezaan dalam tempoh PKPB yang akan bermula 4 Mei ini adalah masyarakat tidak bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan keselamatan sebaliknya atas kesedaran diri sendiri.

Malah, ujar beliau, dalam tempoh itu juga, PKP hanya diperketatkan di kawasan yang mempunyai kes penularan semula wabak Covid-19.

“Kita kena buat berperingkat, dahulukan aktiviti ekonomi perniagaan dan soal cari makan rakyat dan sebagainya. Kerajaan dah tanggung berat sangat, kuarantin di hotel (melibatkan kos) RM150 juta, kita tangguhkan sewa premis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjumlah RM33 juta. Berbilion sudah kita belanja.

“Jadi oleh kerana kita rasakan kita boleh longgarkan, kita longgarkan berperingkat tapi jangan anggap ‘game is over’ atau kita menang. Sama ada longgar atau tidak, ia menuntut kita ‘social distancing’, tidak boleh anjur ‘event’ yang boleh in-contact dengan orang yang tidak tahu. Kawal, ‘self-restrict’ atau ‘self-discipline’ perlu dilakukan,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Annuar turut menyatakan bahawa pada masa ini, kes di Malaysia tidak banyak dan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dapat menangani penularan dengan kadar yang cukup berjaya selain mempunyai kapasiti sistem kesihatan yang besar termasuk keupayaan membuat ujian saringan kepada individu yang ramai dalam satu hari.

Sebelum ini, WHO menggariskan enam kriteria yang perlu dipenuhi sekiranya mana-mana negara mahu menamatkan PKP.

Enam perkara tersebut adalah, kemampuan mengawal sempadan daripada kes import; kemampuan mengawal dan merawat pesakit positif daripada menjangkiti orang lain; kemampuan sistem dan fasiliti kesihatan negara (makmal dan wad) dan kemampuan negara dalam usaha melindungi golongan berisiko tinggi.

Selain itu, antara lain yang digariskan WHO adalah norma baharu menjadi amalan hidup iaitu tiada lagi perhimpunan awam, penjarakan sosial dan kerap basuh tangan serta kemampuan negara dalam usaha melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas