Berita

Langgar PKP: Anak Zahid Hamidi, suami akan dituduh

- Diterbit 2 Mei 2020 3:25 PM MYT

Anak Zahid Hamidi, suami akan didakwa langgar PKP

 

KUALA LUMPUR – Datuk Nurul Hidayah Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd. Yusoff akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman dan kedua-duanya telah diambil keterangan pada 24 April lalu.

“Siasatan mendapati Datuk Nurul Hidayah telah memuat naik gambar di Instagram dengan beberapa kapsyen tentang pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.

“Kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan sudah mendapat arahan untuk menuduh kedua-duanya mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.3) 2020 dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Nurul Hidayah, 41, memuat naik beberapa gambar di Instagram miliknya ketika dia dan suaminya bertemu Zulkifli serta Ahmad Masrizal di pejabat masing-masing.

Ekoran itu, dia mendapat kecaman netizen yang mendakwa telah melanggar PKP selain menyalahgunakan kedudukannya sebagai anak tokoh politik yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Nurul Hidayah juga menerusi status di Instagram menyelar tindakan netizen itu selain mencabar mereka membuat laporan polis terhadapnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas