Berita

PKOB KWP ditutup di semua kawasan terjejas banjir

ROSIDA (tengah) selepas sesi temu bual berkenaan bantuan KWP yang digerakkan dalam Misi Banjir di Selamat Pagi Malaysia, pagi tadi. Gambar - FACEBOOK KWP
- Diterbit 13 Januari 2022 4:01 AM MYT

PUSAT Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di bawah pemantauan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama agensi ditutup berikutan keadaan di kawasan terjejas sudah terkawal.

Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar berkata PKOB tersebut telah ditutup sejak beberapa hari yang lalu.

“Ianya bukanlah sebab penat tetapi kami mendapat arahan daripada pegawai daerah masing-masing agar bantuan dihentikan berikutan keadaan sudah terkawal kini dan urusan pasca banjir selebihnya akan diambil alih oleh mereka sendiri,” katanya dalam sesi temu bual semasa rancangan Selamat Pagi Malaysia pagi tadi.

Beliau berkata ketika banjir yang melanda negara, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim telah mengerahkan beberapa kekuatan anggota seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), polis, askar dan lain-lain turun padang membantu mangsa.

“Misi bantuan banjir ini bermula dari 18 Disember di mana ketika itu ibu kota turut terjejas jadi pergerakan agak terhad untuk ke luar negeri namun keesokannya sehingga 31 Disember, bantuan kami digerakkan ke Selangor terutama Taman Sri Muda, Labu Lanjut, Bukit Changgang dan Hulu Langat.

“Ketika itu Negeri Sembilan, Pahang, Melaka dan Johor turut terjejas, jadi kita hantar juga bantuan dan sukarelawan untuk membantu di sana,” jelasnya.

Tambahnya misi digerakkan atas dasar keprihatinan serta konsep Keluarga Malaysia yang diterapkan Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, Rosida berkata pihaknya sudah bersiap siaga untuk menghadapi gelombang kedua sekiranya berlaku.

“Di peringkat Kementerian kita sentiasa bermesyuarat dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan sekiranya berlaku keadaan di luar jangkaan seperti ini, kita sudah merangka pelan evakuasi.

“Kita perlu ada simulasi bersama rakyat dan Majlis Persatuan Penduduk (MPP) untuk memyelamatkan diri ketika berlaku banjir kilat. Menteri WP turut menyarankan kewujudan dapur bergerak dengan menggunakan food truck untuk memudahkan pergerakan bantuan di negeri-negeri terjejas,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan pemantauan ketat di kawasan pembinaan akan dilakukan di bawah penyeliaan Datuk Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengelakkan bandaraya Kuala Lumpur ditenggelami banjir.

“Buat masa ini kita mempunyai sistem Smart Tunnel dan akan menyemak semula sama ada ia berfungsi atau sebaliknya.

“Dari segi penambahbaikan kaedah pemakluman pula, rakyat perlu didedahkan mengenai fungsi dan amaran bunyi siren tersebut,”  jelasnya yang mahu memberi kesedaran kepada rakyat.

KWP bersedia menghulurkan tenaga dan sumbangan merentasi negeri bagi membantu Keluarga Malaysia yang memerlukan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas