Berita

Remaja hilang dalam semak ditemui kebingungan , lemah atas jambatan

MUHAMMAD Iznun Al-Azim Mahadi ditemui penduduk kampung dalam keadaan kepenatan dan kebingungan di atas sebuah jambatan pada jarak dua kilometer dari lokasi dia dipercayai hilang. Gambar - FACEBOOK AZIZUL RAHMAN
- Diterbit 12 Januari 2022 2:50 PM MYT

SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang selepas membuang air kecil di dalam kawasan semak berdekatan kawasan rumahnya telah ditemui selamat kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

Mangsa , Muhammad Iznun Al-Azim Mahadi ditemui penduduk kampung dalam keadaan kepenatan dan kebingungan di atas sebuah jambatan pada jarak dua kilometer dari lokasi dia dipercayai hilang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritenan Sik Choon Foo memaklumkan, penduduk kampung yang kebetulan melalui jalan tersebut menemui remaja berkenaan sedang berjalan seorang diri dalam keadaan kepenatan dan kebingungan.

“Dia ditemui petang tadi sedang berjalan dalam keadaan lemah, kebingungan dan ketakutan.

“Bimbang dengan keadaan itu, penduduk kampung terus membawa mangsa ke rumah keluarganya sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.

Bagaimanapun, bapa saudara remaja berkenaan mengucapkan syukur apabila anak saudaranya ditemui selamat selepas lebih dua malam dilaporkan hilang.

“Syukur…Terima kasih semua yang mendoakan, yang buat solat hajat,orang ramai buat ikhtiar bermacam cara… terima kasih banyak banyak Kak Yah (orang yang menjumpai Iznun),” ucapnya menerusi laman Facebook miliknya iaitu Azizul Rahman.

Terdahulu, remaja lelaki yang berasal dari Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang dipercayai hilang pada 10 Januari lalu selepas membuang air kecil di kawasan semak pada pukul 10 malam .

Mangsa dikatakan sedang bermain bersama tiga rakannya di hadapan rumah sebelum masuk ke kawasan semak untuk membuang air kecil.

Bagaimanapun, ketiadaan mangsa disedari ibunya pada pukul 3 pagi dan terus mencarinya bersama keluarga di sekitar kawasan kampung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas