Berita

Xin Yun dilantik CEO baharu NKF Malaysia

ORANG ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh layari laman web NKF di nkf.org.my/ atau hubungi 03-7954 9048.
- Diterbit 13 Januari 2022 5:59 AM MYT

YAYASAN Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF Malaysia) mengumumkan pelantikan Khor Xin Yun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 12 Januari 2021.

Sebelum pelantikannya sebagai CEO NKF Malaysia, Xin Yun pernah berkhidmat sebagai ketua kesihatan digital untuk Program Kesihatan Lebih Baik (BHP) Malaysia yang dibiayai oleh Dana Kemakmuran Pejabat Asing, Komanwel dan Pembangunan United Kingdom pada tahun 2020. 

NKF Malaysia dalam kenyataan memaklumkan Xin Yun adalah pemegang ijazah sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan ijazah sarjana muda dalam bidang Farmasi dari Universiti Sains Malaysia serta mempunyai pengalaman bekerja selama lebih lima tahun pada 2011 dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Semasa berkhidmat selama lima tahun, Xin Yun telah memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan korporat peringkat tinggi, perancangan strategik, pengurusan pengalaman pelanggan, kualiti perkhidmatan, kejuruteraan semula proses perniagaan dan pengurusan perubahan.

“Beliau turut memperoleh pengalaman klinikal sebagai ahli farmasi wad di Hospital Kulim dan pernah terlibat secara aktif dalam bidang perancangan strategik dan pembangunan dasar sektor farmaseutikal di bawah Program Perkhidmatan Farmaseutikal kementerian sebagai penolong pengarah kanan bagi Dasar dan Perancangan Strategik. 

“Dengan pengalaman lebih sedekad dalam pelbagai sektor dalam industri penjagaan kesihatan, Xin Yun telah membina rekod prestasi cemerlang dalam menerajui pendigitalan dan transformasi dalam jawatannya sebelum ini,” kata kenyataan itu sambil menambah Xin Yun turut mempunyai rancangan transformasi digital yang besar untuk organisasi itu.

KHOR Xin Yun, 35.

Jelasnya, Xin Yun yang berasal dari Pulau Pinang itu mempunyai semangat dan keupayaan yang tinggi dalam pelantikkannya sebagai CEO dimantapkan lagi dengan jawatan yang pernah dipegang sebelum ini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Walnut Wellness, iaitu sebuah syarikat penjagaan kesihatan tempatan.

Difahamkan, Walnut Wellness memanfaatkan teknologi digital, reka bentuk perkhidmatan baharu dan rangkaian komuniti untuk menyampaikan penjagaan pencegahan yang berkesan untuk korporat dan juga untuk memupuk penglibatan kesihatan komuniti untuk penanggung insurans dan penyedia penjagaan kesihatan. 

Sementara itu, Pengerusi NKF Malaysia, Datuk Dr Zaki Morad Mohamad Zaher pula memberitahu pihaknya sangat gembira dan teruja untuk melihatnya melakukan keajaibannya di NKF Malaysia.

“Saya yakin bahawa dia sangat sesuai untuk organisasi ini kerana dia mempunyai pengalaman dan kepakaran industri yang banyak yang akan memberikan manfaat kepada NKF Malaysia. 

“NKF Malaysia kini boleh bersedia untuk memacu inovasi dan pendigitalan yang lebih besar dalam penjagaan dan pencegahan buah pinggang sambil memajukan visi dan misi kami pada masa yang sama,” ujarnya. 

Tambahnya, ini juga selaras dengan usaha Kementerian Kesihatan ke arah meningkatkan kesedaran dan promosi dalam pencegahan penyakit tidak berjangkit dalam usaha meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup di kalangan rakyat Malaysia.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh layari laman web NKF di nkf.org.my/ atau hubungi 03-7954 9048. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas