Agama

Trend ‘Alamak Raya Lagi’: Usah melampau berjoget

- Diterbit 26 April 2024 12:00 PM MYT

ZAMAN di mana dunia teknologi di hujung hari bukan sahaja memberi kebaikan bagi mereka yang bijak menggunakannya bahkan sebaliknya ia turut membawa anasir-anasir negatif yang menjurus kepada kemudaratan khususnya kepada warga Muslim.

Maka, dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang konten di media sosial bagi mengelakkan daripada mendatangkan keburukan di masa hadapan.

Kadangkala masyarakat mudah lupa, alpa atau lalai dengan keseronokan sehingga berlumba-lumba memuat naik konten sekadar untuk mengejar tontonan dan sebagainya.

Misalnya, ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini, ramai yang berjoget sakan tidak terkecuali wanita beragama Islam semata-mata ingin mengikut trend  menari lagu ‘Alamak Raya Lagi’.

Pendakwah bebas, Zulkefly Adimun berkata isu yang hangat adalah apabila tarian dan joget ini dilakukan oleh wanita dewasa dengan gaya yang kurang sopan, di khalayak, dirakam dan ditayangkan dengan aurat yang terbuka maka ia dilarang.

“Antara sebab larangan ialah apabila aurat wajib ditutup dengan rapi tanpa menampakkan rupa dan bentuk.

“Kedua pula, perlakuan yang menarik perhatian jantina lain juga tidak dibolehkan.

“Akhir sekali, rasa malu dan iman saling berkait, apabila hilang satu, yang lagi satu juga akan hilang,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Tambah Zulkefly, jika mahu berjoget dan terbuka aurat dibolehkan bergantung kepada keadaan iaitu sekiranya dalam kalangan keluarga yang mahram.

“Walau bagaimanapun, adapun hukum selain tempat tertutup dalam kalangan mahram ia adalah berbeza mengikut kepada kesesuaian. Selain itu, ia bergantung juga kepada jenis lagu dan lirik, sekiranya ia tidak bercanggah dengan syarak secara umumnya adalah dibenarkan untuk dilaung dan diperdengarkan,” jelasnya.

Zulkefly berkata kaum lelaki dan juga perempuan mempunyai batasan aurat tersendiri yang perlu dijaga dengan sebaiknya.

“Sebagai seorang lelaki adalah diperintah untuk menundukkan pandangan, begitu juga wanita diperintahkan perkara sama. Lebih mudah bagi kita semua untuk menundukkan pandangan jika aurat orang sekeliling kita terjaga rapi.

“Jadilah kita manusia yang memberi manfaat kepada orang lain. Itulah tanda keimanan seseorang,” katanya.

Beliau turut menegaskan, elakkan daripada memuat naik video sehingga mendedahkan aurat keluarga apabila sedang asyik mengikut trend.

“Seronok ketika beraya itu satu perkara, seronok memuat naik video pun satu perkara juga, kadang-kadang ibu saudara, nenek yang selalu jaga aurat tapi anak saudara yang terlebih seronok merekod segala perkara dalam rumah lantas mendedahkan aurat mereka.

“Macam saya sebut tadi keterujaan untuk mendapatkan jumlah tontonan yang banyak menyebabkan orang menjadi agak ‘gila’ hingga tidak sempat mempertimbangkan kewajaran.

“Kalau boleh perlu bijak bermain media sosial, perlu adanya batasan apa yang boleh dan tidak boleh dikongsi, jangan sibuk mengejar atau mengikut trend sehingga alpa mendatangkan kemudaratan,” tegasnya.

Menurut Zulkefly, trend sebegini jika dibiarkan dibimbangi akan membawa kepada masalah sosial kepada masyarakat.

“Jika dibiarkan tanpa teguran oleh sesiapa dibimbangi akan menjadi satu perkara yang normal pada masa hadapan melihat makcik-makcik, nenek-nenek, pakcik-pakcik dan atuk-atuk akan dilihat tidak segan silu untuk berjoget di khalayak tanpa mempedulikan adab dan tatasusila.

“Buatlah apa sahaja yang kita mahu, tetapi kenali batasannya agar kita tidak melampauinya. Sebaiknya kita jadikan Nabi SAW sebagai ikutan dan juga para sahabatnya bagi memandu kehidupan kita. Hanya ini yang menjadikan kita selamat di dunia dan akhirat,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas