Berita

PKB-DBKL bangunkan Shared Space di Jalan Raja Muda Mus

SHAHIDAN mendengar penerangan daripada Mahadi tentang kawasan sekitar di tapak Projek Perkongsian Ruang di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru.
- Diterbit 18 Oktober 2021 2:17 AM MYT

PERBADANAN Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membangunkan sebuah Projek Perkongsian Ruang (Shared Space) di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini, pada awal
tahun depan dan dijangka siap selewatnya awal tahun 2023.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, projek tersebut akan menjadi pemangkin pertumbuhan produk pelancongan di Kampung
Baru selain dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, pe niaga atau penjaja, kebersihan dan keindahan Jalan Raja Muda Musa.

“Projek ini akan merancakkan lagi aktiviti syurga makanan di sepanjang laluan Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Raja Alang.

“Proses tendernya akan dilaksanakan bulan ini manakala projek di tapak dijangka bermula awal tahun depan dan siap selewat-lewatnya awal tahun 2023,” katanya dalam kenyataan sesi tinjauan Turun Padang ke lokasi Kios Usahawan Anak Muda Kota dan Kampung Baru pada Selasa.

LAKARAN menunjukkan keseluruhan Jalan Raja Muda Musa yang dijadikan sebagai lokasi Perkongsian Ruang.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Datuk TPr Lokman Omar.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, pihaknya menyasarkan untuk menyediakan kira-kira 1,000 kios dan ruang niaga di bawah Program Usahawan Anak Muda Kota di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sehingga kini, seramai 126 orang usahawan telah memulakan operasi perniagaan dan ia telah memberi peluang kepada peniaga dan memperbanyakkan kawasan perniagaan di lokasi tumpuan ramai di pusat bandar Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kadar sewa yang lebih murah.

“Pihak Kementerian juga memberi kemudahan dalam bentuk pemberian lesen perniagaan, pembiayaan perniagaan, pemasaran produk dan khidmat nasihat perniagaan serta latihan keusahawanan bagi menggalakkan penyertaan daripada golongan belia untuk menyertai program ini,” katanya.

Menurut Shahidan, DBKL juga merancang untuk mengadakan Program Pementoran Usahawan bagi semua usahawan anak muda kota yang terpilih termasuk di kalangan usahawan yang berniaga di tapak ini.

“Bagi bergerak ke hadapan, beberapa langkah perlu dikenal pasti untuk meningkatkan lagi kadar pendigitalan perniagaan bagi memastikan usahawan anak muda kota dapat beroperasi dengan mampan,” katanya.

Ujarnya lagi, pelaksanaan program yang teratur dan berkesan seumpama ini dijangka berupaya memberikan impak yang positif dalam usaha menangani masalah kemiskinan di kalangan Keluarga Malaysia yang terkesan dengan
pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun 2020. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas