Berita

RM180 billion untuk projek sektor pembinaan tahun 2024

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 9 Mei 2024 6:37 PM MYT

SEBANYAK RM180 bilion peruntukan dalam sektor pembinaan membabitkan projek kerajaan dan swasta bersedia untuk direbut tahun ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata sebanyak RM90 bilion adalah daripada peruntukan kerajaan yang telah diluluskan bagi perbelanjaan pembangunan melalui Belanjawan 2024 manakala selebihnya daripada sektor swasta.

“Pada pertengahan tahun ini, banyak tender dan surat setuju terima akan dikeluarkan, dan ini akan melonjakkan lagi sektor pembinaan.

“Saya tidak dapat menganggarkan nilai tender yang akan dikeluarkan oleh pihak swasta. Bagaimanapun, daripada RM90 bilion perbelanjaan pembangunan kerajaan, saya anggarkan 40 peratus akan dikeluarkan pertengahan tahun ini,” katanya pada majlis makan tengah hari dan bicara bertajuk ‘Awaiting Take-Off of Construction Sector’ anjuran MIDF Research di sini hari ini.

Menurutnya antara projek yang akan ditenderkan adalah projek sekolah, hospital, klinik dan jalan raya.

Sektor pembinaan telah lama menjadi asas pertumbuhan ekonomi Malaysia, yang mempunyai kesan pengganda besar dan berpengaruh, dengan impaknya merentas pelbagai sektor yang saling berkaitan, katanya.

Beliau berkata sektor pembinaan di negara ini terus menunjukkan trend positif.

“Untuk suku ketujuh berturut-turut, sektor pembinaan terus mengekalkan momentumnya yang positif, dengan pertumbuhan 6.8 peratus tahun ke tahun, mencapai nilai kerja sebanyak RM34.1 bilion pada suku keempat 2023,” katanya.

Ahmad berkata data terkini daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menunjukkan industri ini yang bertenaga, dengan 2,772 projek berjumlah RM31.34 bilion telah dianugerahkan pada suku pertama 2024.

Menurutnya walaupun angka berkenaan rendah sedikit berbanding tahun sebelumnya, ini menawarkan peluang menggalakkan dan menguntungkan bagi pihak berkepentingan industri.

Mengenai kemajuan sektor pembinaan, beliau berkata firma pembinaan di Malaysia memperlihatkan kehadiran mereka di platform global.

“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020, nilai projek luar negara yang diuruskan oleh syarikat pembinaan tempatan terus meningkat, memperlihatkan daya tahan dan daya saing mereka di arena antarabangsa,” katanya.

Ahmad berkata, selain itu impak sektor pembinaan terhadap eksport perkhidmatan turut menyaksikan pemulihan yang ketara.

“Berbanding defisit suku tahunan sebanyak RM4.25 bilion pada suku keempat 2017, sektor itu telah pulih dengan memberangsangkan. Menurut data terkini, ia mencatat lebihan suku tahunan yang besar sebanyak RM12.49 bilion pada suku keempat 2023,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata hanya tiga peratus daripada 775 projek pembinaan di bawah pemantauan kementerian itu dikategorikan sebagai projek “sakit.”

“Bagaimanapun antara isu yang harus diberi perhatian adalah dari segi kelewatan untuk menyiapkan projek. Terlalu banyak permintaan untuk pelanjutan masa yang diterima daripada kontraktor,” katanya.

Justeru, Ahmad mencadangkan langkah seterusnya dalam pembangunan sektor ini perlu melibatkan integrasi kaedah dan teknologi pembinaan terkini dalam aktiviti sektor berkenaan.

Elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus juga harus terus diberikan perhatian serius untuk masa depan yang mampan, katanya.

“Dengan sokongan kerajaan yang berterusan, saya yakin sektor ini bersedia untuk mencapai tahap prestasi lebih tinggi,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas