Berita

Beri komitmen penuh perangi dadah

SAIFUDDIN dan Azizah (tengah) ketika Hari Terbuka Agensi Anti Dadah 2024
- Diterbit 10 Mei 2024 11:06 AM MYT

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan pada hari ini akan terus memberi komitmen penuh untuk memerangi dadah yang menjadi musuh utama negara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam peringkat akhir membuat pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan bakal dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

“Akta ini bertujuan untuk menghapuskan segala kesalahan jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah ringan serta mengiktiraf pegawai pemulihan di AADK menentu sahkan sama ada individu tersebut seorang penagih atau tidak.

“Walaupun kami telah menyediakan 30 pusat pemulihan, jumlah klien yang kami telah bantu pulih secara komuniti lebih besar iaitu melebihi 70,000 orang.

“Kerajaan juga akan memberikan seluruh kekuatan dan keupayaan bukan sahaja menjayakan pindaan akta ini tetapi juga membantu klien Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (PUSPEN) bebas daripada najis dadah,” katanya dalam Majlis Perasmian Hari Terbuka Agensi Anti Dadah 2024 di PUSPEN Sungai Besi pada Selasa.

Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Shobah Jamil.

Pada majlis tersebut, AADK turut melancarkan saluran baharu perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah secara atas talian melalui Hotline Tele-Hello AADK.

Saluran ini diperkenalkan untuk menyediakan advokasi awal, sesi kaunseling, khidmat nasihat dan sebagainya sama ada kepada penagih, keluarga atau komuniti. Orang ramai boleh hubingi di talian 1-800-22-2235 atau WhatsApp di 019-626 2233. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas