Berita

Dasar Rumah Mampu Milik diperkasa

PERUMAHAN Mikro merupakan rumah transit untuk sewaan bagi golongan belia yang baru memulakan kerja di Kuala Lumpur. - Gambar fail
- Diterbit 18 Oktober 2021 2:25 AM MYT

LONJAKAN harga rumah terutama di dalam kawasan bandaraya Kuala Lumpur telah mendorong kerajaan untuk memperkasakan dasar Rumah Mampu Milik (RMM) yang dapat memenuhi keperluan warga kota terutama untuk golongan B40 dan M40 yang bekerja di kawasan bandar.

Dasar tersebut menjadi keutamaan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan ia menjadi penanda aras di bawah teraju Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang dilihat giat mencari kaedah dan usaha bagi merealisasikan dasar tersebut sama ada melalui pemilikan mahupun sewaan.

Keutamaan ini telah dizahirkan melalui dua ucapan penggulungan Perbahasan Titah Diraja Dewan Negara dan Perbahasan Rancangan Malaysia (RMK-12) yang dibuat Shahidan telah menyentuh dengan terperinci mengenai usaha yang telah dibuat dalam menyediakan perumahan kepada rakyat.

Beliau berkata, dengan mengambil kira bilangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang terhad di Wilayah Persekutuan, Kementeriannya telah melaksanakan dua program (RMM) bagi memberi peluang pemilikan rumah kepada golongan B40 dan M40.

Antara projek yang sedang dilaksanakan adalah Residensi Prihatin yang dijenamakan semula sebagai Residensi Keluarga Malaysia dengan harga jualan tidak melebihi RM200,000 seunit.

“Residensi ini berkeluasan minima 750 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, khusus untuk golongan berpendapatan rendah B40.

“Sehingga September 2021 sebanyak 15 projek melibatkan 15,926 unit telah dirancang,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Negara pada Isnin.

Shahidan berkata, Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Residensi Wilayah merupakan projek perumahan khusus untuk golongan M40 yang dijual tidak melebihi RM300,000 seunit berkeluasan minima 900 kaki persegi khusus dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Dari 2014 sehingga 30 September 2021, sejumlah 62,701 unit telah diluluskan melibatkan 93 projek di Kuala Lumpur, tiga projek di Putrajaya dan empat projek di Labuan yang berada di pelbagai peringkat pembangunan.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 20,472 unit telah siap iaitu 19,360 unit di Kuala Lumpur dan 1,112 unit telah siap di Labuan,” katanya.

Katanya lagi, KWP akan sentiasa berusaha memastikan perumahan mampu milik ini disediakan untuk warga Wilayah Persekutuan dan dibina berhampiran dengan akses kepada pengangkutan awam seperti stesen MRT dan LRT yang berdekatan.

PERUMAHAN MIKRO

Menurut Shahidan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah melaksanakan rumah transit untuk sewaan bagi golongan belia yang dikenali sebagai Perumahan Mikro.

“Pendekatan kediaman ini adalah berkonsepkan perkongsian ruang (shared space) bagi memaksimakan ruang agar dapat menempatkan jumlah penyewa.

“Setiap tingkat kediaman mengandungi beberapa ruang shared space setiap satunya mengandungi empat hingga enam katil dan setiap ruang katil individu mempunyai ruang tujuh meter persegi atau 75 kaki persegi.

“DBKL telah menyediakan perumahan mikro ini di Jalan Tuanku Abdul Rahman semenjak Oktober 2019 dengan kira-kira 311 ruang katil individu kepada penyewa bujang dengan kadar sewa RM100 sebulan,” katanya.

Tambahnya, bagi mendorong warga tempatan untuk bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur, DBKL turut menyediakan rumah kediaman untuk pekerja-pekerja tersebut dan sebanyak 224 ruang disediakan dengan sewa sebanyak RM150 sebulan.

Ujar Shahidan, selain dari penyediaan PPR dan PA di Kuala Lumpur, DBKL juga memperkenalkan Council Home yang berkeluasan sekitar 750 hingga 800 kaki persegi.

“Projek pertama Council Home ini sedang dilaksanakan di Kampung Sungai Udang Segambut dengan jumlah kira-kira 1,251 unit.

“Inisiatif ini adalah untuk golongan B40 yang telah berkeluarga dan kadar sewa tidak melebihi RM850 sebulan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas