Berita

Suria KLCC tawar baucar hampir RM450,000 kepada pelanggan bertuah

Wartawan hype.my, Justin Tan antara pelanggan bertuah yang menerima baucar bernilai RM5,000. Wartawan hype.my, Justin Tan antara pelanggan bertuah yang menerima baucar bernilai RM5,000.
- Diterbit 18 Oktober 2021 2:03 AM MYT

KEMBALI membuka tirai ‘The Golden Ticket’, Kumpulan Syarikat Suria KLCC menyediakan baucar hampir RM450,000 kepada pelanggan bertuah yang berkunjung ke pusat beli-belah di bawah naungannya bagi tempoh suku akhir tahun 2021.

Ketua Pegawai Esekutif, Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, kempen ini dianjurkan lagi selepas menerima maklum balas positif dan ia secara tidak langsung menjadi kempen yang diingati pengunjung.

“Kami amat bersyukur kerana berpeluang untuk kembali meraikan pengunjung setia dengan sambutan kempen ini, kami berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat memberi keceriaan kepada mereka.

“Kempen ini adalah tanda penghargaan kecil kami dalam menghargai dan menyanjungi pelanggan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh 16 hari bermula 9 Oktober lalu, pembeli bepeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah dengan membuka salah satu kotak misteri yang dipilih daripada 100 kotak lain.

Katanya, kotak misteri berkenaan akan ditempatkan di Tingkat 1, Ramlee Mall, yang mana para pembeli berpeluang memenangi ‘Golden Ticket’ atau ‘Purple Ticket’.

“‘Golden Ticket’ adalah himpunan baucar beli-belah yang bernilai RM5,000, manakala pembeli yang mencabut ‘Purple Ticket’ akan membawa pulang baucar beli-belah Suria KLCC yang bernilai RM50.

“Pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM500 dalam dua resit dari mana mana kedai terpilih di Suria KLCC layak untuk menyertai cabutan bertuah tersebut. Bagi merancakkan lagi kempen ini, Suria KLCC akan memberi pakej percutian ‘staycation’ dua hari satu malam di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur dan cabutan akan dibuat pada acara penutupan tirai kempen tersebut.

“Peluang untuk memenangi ‘Golden Ticket’ akan diadakan pada sesi pagi dan sesi tengah hari, sejumlah 32 pemenang akan membawa pulang baucar beli-belah yang
bernilai RM5,000 setiap seorang,” katanya.

Mengulas lanjut, Brien memberitahu, bagi ‘Purple Ticket’, lebih daripada 3,000 baucar beli-belah yang bernilai RM50 dengan nilai terkumpul sebanyak RM158,000 bakal dimenangi dan sebanyak 99 baucar akan diberikan pada dua sesi setiap hari.

Ujarnya, bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengunjung sepanjang keberlangsungan kempen, Suria KLCC akan memastikan kawalan prosedur operasi standard (SOP) dipantau.

“Cecair pembasmi kuman dan cecair pembersih tangan akan disediakan di sekitar stesen cabutan bertuah tersebut. Bagi mengekalkan penjarakan sosial yang optimum, acara cabutan bertuah hanya akan diadakan pada dua sesi setiap hari yang mana sesi pertama akan berlangsung mulai pukul 10 pagi hingga 3 petang manakala sesi kedua akan berlangsung pada pukul 4 petang hingga 9 malam.

“Kempen ‘The Golden Ticket’ juga akan kembali memeriahkan kawasan Centre Court Pusat Beli-Belah Mesra Mall, Kemaman pada 22 November untuk pelanggan yang berbelanja sekurang-kurangnya RM250 dalam dua resit dari mana-mana kedai terpilih. Secara keseluruhan, sejumlah 45 ‘Golden Ticket’ akan diberikan,” tambahnya.

Untuk makluman, tebusan hadiah terhad untuk satu kemasukan bagi setiap pembeli untuk setiap hari, sementara stok masih ada. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas