Biz

Bakul berkat rotan jadi pilihan kenamaan

ISHAK sedang menyiapkan bakul rotan yang ditempah pelanggan
- Diterbit 10 Mei 2024 10:51 AM MYT

JIKA masyarakat Baba dan Nyonya berbangga dengan mangkuk tingkat mereka yang berwarna hitam dan merah dihiasi motif naga atau burung cenderawasih, mangkuk tingkat dikenali Bakul Berkat yang dihasilkan Adiguru Kraf Ishak Kassim pula tidak kurang hebatnya dari segi kehalusan anyaman daripada rotan.

Hasil air tangan lshak, 64, bukan sahaja dipamer dan dijual dalam serta luar negara, malah Bakul Berkat pelbagai saiz, lapisan, reka bentuk dan warna itu kini menjadi antara pilihan utama orang kenamaan termasuk istana dan kementerian Malaysia untuk dijadikan tanda mata.

“Bakul Berkat ini hasil inovasi dan cetusan idea dari semasa ke semasa. Apa yang membezakan Bakul Berkat ini dengan yang lain ialah ia menggunakan motif yang secara tulennya berasal dari Melaka dan Malaysia.

“Jadi apabila pelancong atau sesiapa sahaja yang ingin membelinya, mereka akan tahu selain kualiti, produk tersebut membawa identiti asli Malaysia,” katanya.

Menurut Ishak kehalusan, kemasan, kekuatan, saiz dan kombinasi warna produk yang dihasilkannya serta anak didik memberi perbezaan ketara kerana kemampuan menggabungkan pelbagai motif tradisional dan geometri kontemporari seperti motif pucuk rebung, siku keluang, mata punai, tulang belut, sisik ikan dan teknik jalinan satu, jalinan dua, jalinan tiga serta teknik kelarai.

Ishak berkata Bakul Berkat itu dihasilkan dalam reka bentuk geometri iaitu bulat, bujur, segi tiga, segi empat, heksagon, oktagon serta bentuk D selain bentuk bijirin, kekacang dan nombor 8.

“Apa yang penting, semua motif yang saya hasilkan berasal dari Melaka dan Malaysia, yang diperoleh selepas melakukan pelbagai penyelidikan bertahun lamanya untuk membezakan motif seni anyaman rotan kita dengan negara luar,” katanya.

Penerima Anugerah Naib Johan pertandingan bidang kraf anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) (Asia Pasifik) pada 2003 itu berkata beliau mahu lebih ramai pelapis berkemahiran tinggi dalam kraf anyaman rotan dapat dilahirkan.

Beliau yang sering menghasilkan prototaip dan melakukan kajian dan pembangunan (R&D) bagi anyaman rotan sejak 1986 hingga kini di bawah Kraftangan Malaysia berkata banyak idea reka bentuk dicetuskan oleh pengusaha produk tersebut dan ia perlu dikembangkan dengan baik.

“Macam saya sendiri, ada 20 hingga 30 reka bentuk yang dibuat sejak dulu dan sampai sekarang tidak dapat dikeluarkan sebab saya rasa masih ada yang perlu ‘dicantikkan’. Menerusi idea dan inovasi semasa, saya akan kembali ketengahkan produk tersebut terutama pada Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 nanti,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas