Berita

Sultan Selangor perkenan Selangor FC tidak hadir perlawanan Piala Sumbangsih 2024

- Diterbit 9 Mei 2024 11:57 AM MYT

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menyokong penuh keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), yang dijadualkan berlangsung di Stadium Ibrahim Stadium, Iskandar Puteri, esok.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Baginda bagaimanapun menzahirkan rasa kecewa kerana pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan perlawanan itu.

Selaku penaung Selangor FC Baginda berpandangan susulan berlaku beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain dan pegawai bola sepak baru-baru ini, adalah bertepatan untuk pasukan Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga merupakan aksi pertama Liga Super edisi 2024.

“Keutamaan ketika ini adalah nyawa dan keselamatan para pemain, dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan,” menurut hantaran itu.

Sultan Sharafuddin turut menekankan bahawa ia bukan sahaja mengenai isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang membabitkan pemain sayap Faisal Halim juga harus diambil kira.

Justeru Baginda turut menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa jua bentuk #standwithfaisalhalim #stoptheviolence.

Sultan Sharafuddin mahu semua pihak memahami bahawa tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa pemain sebegini adalah tidak sama dengan kes-kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan.

Baginda bertitah Selangor FC sedia berdepan dengan sebarang tindakan, susulan keputusan pasukan itu untuk tidak hadir ke perlawanan berkenaan.

Semalam Selangor FC telah menghantar permohonan rasmi kepada MFL untuk menimbangkan supaya menangguhkan tarikh perlawanan Piala Sumbangsih 2024/2025 yang melibatkan pasukan itu dan JDT Jumaat ini.

Dua hari lepas Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam dilaporkan berkata aksi pembuka tirai saingan Liga-M tidak akan ditangguhkan disebabkan insiden serangan keatas pemain bola sepak itu baru-baru ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas