Berita

Pesaka KL pertaruhkan Fitri

KEHEBATAN fitri (kanan) beraksi di salah satu kejohanan baru-baru ini.
- Diterbit 29 Ogos 2019 5:35 PM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PUTRAJAYA – Persatuan Silat Kebangsaan Kuala Lumpur (Pesaka KL) yakin atlet yang bernaung di bawahnya, Muhammad Fitri Naim Azmi, 20, mampu membawa pulang pingat emas pada Kejohanan Dunia Pencak Silat Pantai di Pantai Patong, Phuket, Thailand.

Menurut Setiausaha Agung Pesaka KL, Sudirman Arifin, Fitri merupakan antara pesilat muda yang berbakat dan akan menyempurnakan misi memburu emas pada kejohanan yang akan berlangsung pada 30 September hingga 5 Oktober ini.

Optimis atlet tersebut mampu mempersembahkan aksi hebat pada temasya tersebut, Fitri dilihat sebagai seorang atlet yang tenang ketika berada di gelanggang pertarungan selain tidak gentar untuk bertarung.

“Lapan tahun dia bersama Pesaka KL dan secara peribadi saya amat mengenali kewibawaannya selama ini. Bagi saya ada sesuatu dalam dirinya yang jarang dimiliki orang lain, dia bijak membawa diri.

“Sepanjang latihan, Fitri setia menurut kata dan tidak membantah. Mungkin kerana sikapnya itu juga berjaya membawanya pergi lebih jauh. Berbanding dahulu, dia kini lebih matang dan bijak menukar strategi di waktu kemuncak,” ujarnya.

Katanya lagi, dia yakin atlet tersebut mampu mencapai target dan pasti membawa pulang sebutir pingat biarpun bukan emas.

“Sebagai persediaan, dia akan menyertai latihan khas besama peserta lain dari seluruh Malaysia yang terpilih menyertai kejohanan dunia yang akan diadakan di Balai Silat Negeri Pahang di Pantai Taman Gelora, Kuantan bermula 14 hingga 29 September ini,” ujarnya.

Selain itu, atlet yang mewakili Asia pada Kejohanan Sukan Sekolah Asia (ASG) pada tiga tahun lalu itu juga sibuk menjalani latihan seperti biasa pada sebelah malam sebagai persediaan menghadapi cabaran besar itu.

Mengulas lebih lanjut tentang kejohanan dunia itu, Sudirman menyifatkan ia sebagai suatu temasya yang berlainan dan menarik kerana diadakan di atas pasir berbanding silat konvensional selama ini.

Terbaru atlet yang mewakili Kuala Lumpur untuk beraksi dalam Kelas Putra E ini turut terpilih untuk mewakili Wilayah Persekutuan ke Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas